Powered By Blogger

Wednesday 6 April 2011

CABARAN ETNIK DI MALAYSIA


Asas Hubungan Etnik di Malaysia
Malaysia telah berjaya melangkah keluar dari belengu negara mundur dan menjadi sebuah negara membangun. Dengan usaha-usaha giat dari kerajaan yang mentadbir, kini Malaysia sedang berusaha giat bagi mencapai status negara maju sepertimana yang dicita-citakan serta dinyatakan dalam Wawasan 2020. Perkembangan negara yang bergerak membangun dalam tempoh lebih 53 tahun (1957-2010) merupakan satu jangka masa yang boleh dikatakan singkat menurut ukuran sejarah dunia. Boleh dikatakan bahawa titik mula penggerak kepada sosioekonomi negara yang berlaku secara luar biasa adalah peristiwa hitam 13 Mei 1969 menjadikan seluruh rakyat tersedar bahawa terdapat sesuatu yang tidak kena dalam hubungan masyarakat Malaysia.
Malaysia mempunyai pelbagai kumpulan etnik, antara kumpulan etnik terbesar ialah Melayu, Kadazan-Dusun, Banjar, Iban, Bidayuh, Cina, India dan lain-lain. Dengan senario penduduk pelbagai budaya, perpaduan etnik atau sebaliknya sentiasa menjadi agenda dalam pengurusan masyarakat dan pemerintahan negara ini. Dengan adanya kepelbagaian etnik ini, maka timbulnya cabaran-cabaran yang perlu dihadapi oleh setiap etnik sama ada dari segi agama dan budaya, ekonomi, sosial dan politik. 
Dalam tempoh lebih hampir lima dekad pasca kemerdekaan, hubungan etnik di Malaysia telah melalui pelbagai liku peristiwa pasang surut, pahit dan manis. Dengan latar belakang budaya, agama, bahasa dan asal keturunan yang berbeza, rakyat Malaysia bergerak maju mengharung pelbagai cabaran dan halangan dalam hubungan sosial bagi mewujudkan persekitaran yang harmoni, damai dan selamat. Dari zaman Tunku Abdul Rahman sehingga ke zaman Datuk Seri Najib bin Hj Tun Razak, kita melihat Malaysia dipimpin oleh orang yang amat bertanggungjawab dalam soal perpaduan kaum. Mereka sedar tentang keseimbangan dan bahawa sejarah asas-asas politik Malaysia berasaskan sistem kenegaraan Melayu tetapi pada masa sama kepentingan kaum-kaum yang lain perlu dijaga, dipelihara dan dimajukan.
Perdana Menteri pada tahun-tahun lalu ada menjelaskan bahawa kepentingan penyatuan bangsa dalam pembangunan, membantu kepentingan bangsa Melayu kita tetapi tidak lupa hak kaum lain juga. ''Mengikut Perlembagaan, mereka ada hak dan sebagai pemimpin biasa kita tidak boleh lupa apa hak mereka itu. Sebagai pemimpin kita perlu mempertahan hak mereka kerana kita perlu menyokong perlembagaan,".
 Ini kerana dengan hanya mengejar kemajuan ekonomi sahaja tidak lengkap sekiranya tidak seiring dengan kestabilan politik atau kestabilan politik sahaja tidak mencukupi tampa pembangunan ekonomi yang seimbang. Kedua-dua faktor ini harus bergerak seiring dengan lancar bagi mengelakkan dari berlaku kepincangan sehingga mengakibatkan berlakunya konflik. 
Hubungan Etnik di Tanah Melayu 
Zaman keagungan kerajaan Melayu adalah ketika Zaman Kesultanan Melayu Melaka dimana pada ketika itu Melaka diperintah oleh para sultan dan pembesar yang mempunyai wawasan serta berpandangan jauh. Para pemerintah ketika itu melaksanakan pemerintahan secara terbuka dan sikap penuh diplomasi dimana terdapat dikalangan pegawai-pegawai istana yang berketurunan India dilantik menjawat jawatan dalam istana sultan Melaka. Para pemerintah ketika itu juga jelas mengambil berat tentang keharmonian antara kaum sehinggakan terdapat catatan menyatakan bahawa perkahwinan campur telah berlaku antara pemerintah Melaka dengan anak perempuan pemerintah dari negara China. Hasil dari keharmonian yang wujud membuatkan Melaka menjadi suatu pusat perdagangan yang termasyur serta berjalan dengan begitu lancar, dengan sistem pentadbiran pelabuhan yang teratur serta keselamatan laut yang terjamin dari sebarang ancaman perompak dan lanun hasil dari implimentasi Undang-Undang Laut Melaka yang berteraskan ajaran Islam.
 Pada Ketika ini para pedagang asing bebas keluar masuk keSemenanjung Tanah Melayu sehinggakan wujudnya suatu masyarakat pluralistik yang begitu nyata. Hasil dari itu pendatang-pendatang asing ini telah berkomodasi dengan penduduk tempatan dengan baik sehinggakan mewujudkan kategori masyarakat yang tidak pernah wujud sebelumnya seperti masyarakat Baba contohnya yang terus menetap di Melaka sehingga kini.
Zaman Penjajahan
Kedatangan British ke Tanah Melayu yang sememangnya mereka itu telah maju dari segi ilmu pengetahuan tinggi dalam bidang sosial, kemanusiaan dan sains tulen menyebabkan berlakunya pemisahan besar antara agama dan sains moden pada abad ke-15 Masihi. Kedatangan penjajah ini juga dipercayai menyebabkan berlakunya pertelingkahan antara ahli agama dan saintis Eropah sehingga menyebabkan ilmu pengetahuan terpisah dua iaitu antara agama dan sains moden
. Faktor ini menyebabkan masyarakat beranggapan bahawa ilmu agama adalah keperluan diperingkat individu sahaja manakala ilmu sains menjadi keperluan penting dalam kehidupan sosial duniawi sebagai asas kepada segala aspek kehidupan dunia, pemerintahan dan pentadbiran. Dasar yang dibawa oleh British ini membolehkan mereka menguasai pentadbiran negara manakala hal ehwal agama (Islam di Tanah Melayu) dan adat istiadat Melayu diletakkan dibawah kuasa sultan yang memerintah. British mengasaskan sistem pemerintahan berdasarkan pengagihan kuasa diatas tiga unsur penting iaitu kehakiman, eksekutif dan perundangan.
Penjajahan keatas Tanah Melayu ketika itu secara tidak lansung telah meninggalkan kesan mendalam melibatkan penaklukan terhadap ruang epistemologi atau sistem sistem pemikiran masyarakat peribumi terhadap hubungan etnik dan serba sedikit menjadi faktor yang mempengaruhi pembangunan politik Malaysia sehingga hari ini. Antara kesan-kesan yang wujud melalui penjajahan Inggeris suatu ketika dahulu adalah menyebabkan wujudnya masyarakat pelbagai etnik melalui kemasukan orang Cina dan India ke Semenanjung Tanah Melayu untuk bekerja sebagai buruh samada dalam sektor perladangan atau perlombongan. Konsep pengasingan yang diasaskan oleh penjajah pada ketika itu dengan diasingkan dari penduduk tempatan dari segi pekerjaan, tempat tinggal dan sistem persekolahan dimana ianya secara tidak lansung menyukarkan proses berinteraksi antara sesama kaum. Krisis ini bertambah kronik apabila tiba zaman penjajahan Jepun dengan mengamalkan dasar pembahagian secara jelas antara kaum menyebabkan peningkatan terjadinya persengketaan antara kaum sehingga mencetuskan perbalahan kaum.
Lain pula keadaannya di Sabah, hubungan etnik dicorakkan oleh penempatan penduduk Bumiputra dengan bukan Bumiputra serta Bumiputra bukan Islam dengan Bumiputra Islam. Sistem penempatan dibentuk melalui sistem kepercayaan dikalangan penduduk; bumiputra Islam (Bajau, Idahan, Iranum, Sulu, Bisaya, Melayu Brunei dan Orang Sungai) dan Bumiputra bukan Islam (Dusun, Murut, Rungus). Walau mereka berada dalam kelompok yang berbilang bangsa namun mereka mengamalkan hubungan etnik yang harmoni kerana penduduk meletakkan keutamaan kebuyaan dalam urusan kehidupan bermasyarakat berbanding perbezaan keagamaan serta ikatan kekeluargaan yang lebih kuat berbanding agama. Lain pula keadaannya di Sarawak apabila Raja Brooke mengamalkan dasar mengasingkan kumpulan etnik mengikut kepentingan kepada pentadbiran British di Sarawak. Pelaksanaan ini lebih mempengaruhi perhubungan etnik-etnik berasaskan ekonomi. Pihak pentadbiran British mengambil langkah mengasingkan setiap kumpulan etnik mengikut penempatan dan pekerjaan yang berbeza-beza bertujuan bagi mengelakkan pertelingkahan dan persengketaan yang melibatkan pertumpahan darah dimana akhirnya terbentuklah pengenalan etnik berdasarkan tempat tinggal. Perubahan zaman serta generasi yang silih berganti telah membawa perubahan perhubungan etnik menjadi semakin baik apabila berlakunya perkahwinan campur, toleransi agama, kesedaran melalui pendidikan dan sebagainya.
Zaman Darurat hingga Pembentukan Malaysia
Keadaan yang tidak disangka-sangka berlaku apabila keadaan kestabilan etnik menjadi semakin rumit selepas darurat diisytiharkan terutamanya antara kaum Melayu dan Cina. Ketegangan semakin jelas apabila pihak pentadbiran British memperkenalkan rancangan penempatan semula menyebabkan keterbatasan pergaulan antara kaum apabila kaum Melayu ditempatkan di Kampung Melayu manakala kaum Cina di Kampung Baru. Isu politik ketika ini seperti penguasaan ekonomi oleh pendatang, penglibatan kaum Cina dalam politik Tanah Melayu serta perjuangan etnik mempertahankan budaya, bahasa dan pendidikan semakin ketara. Perjuangan etnik telah mula dipupuk melalui penerapan dasar-dasar kerajaan berkaitan pendidikan dan ekonomi serta kerjasama politik melalui Perikatan. Usaha kerajaan ini terus dilaksanakan sehingga kini bagi menentukan hubungan etnik yang baik kekal hingga kini dengan pelaksanaan dasar-dasar awam kerajaan berkaitan sosial, pendidikan dan ekonomi dipermantapkan bagi mengukuhkan hubungan etnik ni negara ini. Pelbagai konsep baru diperkenalkan selaras dengan usaha itu, antaranya melalui Majlis Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Dasar Pendidikan Kebangsaan, Gagasan 1Malaysia, Rancangan-Rancangan Ekonomi dan sebagainya.
Selepas Perang
Era selepas peperangan memperlihatkan keadaan yang semakin bertambah runcing apabila hubungan etnik dirumitkan lagi dengan penubuhan Malayan Union yang ditolak oleh kaum Melayu namun diterima baik oleh kaum Cina dan India terutamanya didalam isu melibatkan proses kewarganegaraan. Kesepakatan 3 etnik terbesar negara ketika Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 membolehkan rakyat menikmati kuasa politik yang sama rata dengan dasar perkongsian kuasa. Begitu juga dasar pengagihan kekayaan, pembangunan masyarakat yang adil  di sisi undang-undang, amalan demokrasi serta kontrak sosial di antara kepelbagaian kaum menghasilkan keharmonian masyarakat Malaysia. Konsep perkongsian kuasa, pengagihan pendapatan negara secara adil, peluang pendidikan yang sama di antara kaum, kebebasan beragama yang dijamin oleh perlembagaan negara, perlindungan terhadap kaum minoriti serta dasar-dasar yang lain, telah dapat menjamin keharmonian rakyat berbilang kaum dan etnik di negara kita. 
CABARAN KEPENTINGAN ANTARA ETNIK DARI ASPEK SOSIAL
Untuk memahami cabaran-cabaran yang telah dan sedang dilalui oleh rakyat Malaysia sememangnya tidak mudah. Hal ini kerana, seseorang perlu benar-benar memahami terlebih dahulu latar sejarah yang membawa kepada pembinaan masyarakat, bentuk dan jenis pluraliti rakyat negara ini.
Pemisahan Fizikal
Pemisahan fizikal yang berlaku dalam masyarakat negara ini wujud akibat daripada dasar “pecah dan perintah” yang diamalkan oleh British. Keadaan ini menyebabkan sesuatu golongan etnik itu tidak mengenal atau berpeluang untuk berinteraksi dengan lebih kerap, khususnya mereka yang tinggal dalam wilayah yang berbeza. Hal ini berlaku akibat pemisahan fizikal yang disebabkan keadaan geografi di Sabah dan Sarawak yang terlalu luas mengakibatkan kesukaran untuk berinteraksi. Hal yang sama juga berlaku antara semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak yang terpisah oleh Laut China Selatan. Pemisahan penempatan atau fizikal ini bukan sahaja merenggangkan perhubungan dan interaksi dalam kalangan anggota setiap etnik tetapi memperkuat lagi perasaan kekitaan dan etnosentrisme. Keadaan ini seterusnya akan menimbulkan prasangka, stereotaip dan mengekalkan kejahilan dalam kalangan ahli sesuatu golongan etnik terhadap golongan etnik yang lain.
Sistem Pendidikan Yang Berasingan
Setiap golongan etnik mempunyai sistem pendidikan yang berbeza dan tersendiri. Pelajar Melayu belajar disekolah Melayu dan menggunakan Bahasa Melayu. Orang India pula belajar disekolah Tamil dan menggunakan Bahasa Tamil manakala bagi pelajar Cina, mereka belajar disekolah Cina dan menggunakan Bahasa Mandarin. Sistem persekolahan yang memisahkan pelajar mengikut bahasa ibunda dan perbezaan etnik kurang memainkan perana yang berkesan untuk memupuk integrasi dan persefahaman dalam kalangan pelajar. Keadaan ini menyebabkan interaksi sesama mereka hanya berkisar dalam kalangan etnik yang sama. Namun, dari segi kokurikulum adalah sama bagi semua jenis sekolah. Justeru, program RIMUP
 (Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan. Ia bertujuan bagi melahirkan insan-insan yang berlainan kaum, agama, dan budaya dapat hidup dan bekerja bersama dengan harmonis supaya mewujudkan masyarakat dan negara yang aman dan damai) boleh digunakan bagi mengeratkan lagi interaksi dan perpaduan abtara etnik seawal usia pelajar.
Polarisasi Dalam Kalangan Pelajar
Bidang pendidikan merupakan mekanisme penting dalam pembentukan insan yang beretika, bermiral, berakomodatif, berbudaya ikram, penyayang dan sebagainya. Walaupun integrasi kaum pada peringkat persekolahan khususnya Tadika Perpaduan adalah baik, tetapi keterasingan pada peringkat sekolah rendah dan kerenggangan pada peringkat sekolah menengah serta institusi pengajian awam (IPTA) / institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) masih wujud. Situasi ini menyukarkan lagi proses hubungan etnik di Malaysia.
Kontrak Sosial
Kontrak sosial merupakan persetujuan yang dicapai semasa kemerdekaan dalam merangka perlembagaan. Namun isu ini sering kali timbul dan ditimbulkan oleh pihak tertentu yang boleh membawa kepada kerenggangan hubungan etnik di Malaysia. Antara isu yang kerap kali dibangkitkan ialah kedudukan istimewa orang Melayu, kedudukan agama Islam, bahasa Melayu, dan isu kemasukan pelajar ke IPTA dan pelbagai lagi
.
CABARAN KEPENTINGAN ANTARA ETNIK DARI ASPEK EKONOMI
Penguasaan Ekonomi
Dalam sektor ekonomi, terdapat jurang yang luas dari segi penguasaan ekonomi. Kebanyakan orang Melayu menguasai sektor pertanian yang memerlukan banyak tenaga sumber manusia dan berteknologi rendah. Orang Cina umumnya menguasai sektor yang lebih maju seperti pertanian dan perdagangan yang berteknologi moden. Dampaknya, wujud jurang pendapatan yang ketara dan ketidakseimbangan pendapatan turut berlaku. Tiap-tiap golongan etnik berusaha untuk mendapatkan hak dan keuntungan lebih besar daripada pertumbuhan ekonomi dan peluang ekonomi yang wujud. Perbezaan dan penguasaan ekonomi oleh sesuatu golongan etnik dan wujudnya jurang pendapatan antara etnik merupakan cabaran yang sering membawa kepada ketidakstabilan dalam masyarakat majmuk. Hal ini telah dinyatakan dalam Rancangan Malaysia Kedua, iaitu perpaduan negara tidak boleh dicapai tampa kesaksamaan dan keseimbangan yang lebih besar dalam kalangan kumpulan sosial dan etnik Malaysia melalui penyertaan mereka dalam pembangunan negara dan dalam perkongsian manfaat daripada pemodenan dan pertumbuhan ekonomi. Perpaduan negara tidak boleh dipupuk andainya sebahagian besar penduduk kekal miskin dan jika peluang pekerjaan produktif yang mencukupi tidak diwujudkan untuk tenaga buruh yang kian meningkat.
Perbezaan Pekerjaan Berdasarkan Sektor Ekonomi
Penguasaan ekonomi membawa kepada pengenalan pekerjaan mengikut etnik atau mewujudkan perbezaan dari segi pekerjaan. Setiap golongan etnik dikelaskan mengikut sektor ekonomi tertentu seperti pertanian, perniagaan, perindustrian dan pentadbir awam. Hal ini lebih ketara semasa penjajahan British apabila orang Melayu kebanyakannya terlibat dalam sektor pertanian, nelayan dan berkhidmat sebagai penjawat awam. Kebanyakan orang Cina terlibat dalam sektor perniagaan dan perlombongan. Sebilangan besar orang India pula merupakan buruh estet. Walaupun perbezaan ini mula berkurangan, namun masih terdapat perbezaan mengikut sektor ekonomi berdasarkan kumpulan etnik. Perbezaan pekerjaan ini menghalang interaksi antara kaum yang luas. Perkara ini akan memperkukuhkan lagi semangat perkauman.
CABARAN KEPENTINGAN ANTARA ETNIK DARI ASPEK POLITIK
Politik perkauman boleh menimbulkan perasaan tidak senang hati dan mengukuhkan semangat perkauman jika penyuaraan kepentingan semua pihak. Tambahan pula, jika isu perkauman seperti bahasa, kebudaan, pendidikan, agama, kerakyatan dan ekonomi diperalat oleh sesuatu pihak untuk mendapat sokongan rakyat, maka tindakan ini tidak akan menyumbang ke arah masyarakat yang bersatu padu.
CABARAN NILAI ANTARA ETNIK
Perbezaan dari segi agama, bahasa dan kebudayaan lebih ketara dalam masyarakat majmuk. Masing-masing kaum Melayu, Cina dan India mempunyai agama, bahasa dan kebudayaan yang berlainan. Perbezaan ini bertambah sukar apabila setiap kaum terus menebal dengan bahasa dan kebudayaan mereka sendiri. Hal ini menyebabkan anggota etnik lebih mengutamakan anggota etnik mengutamakan anggota daripada etnik yang sama dalam memilih sahabat, mendapatkan pekerjaan dan natijah akhirnya akan mewujudkan polarisasi antara etnik. Cabaran dari segi kepentingan nilai ini akan mewujudkan masalah yang lebih besar sekiranya fahaman etnosentrisme itu dijadikan pegangan dalam masyarakat.
CABARAN GLOBALISASI
Proses globalisasi serta pembaratan corak hidup berasaskan gagasan ekonomi dan politik barat sejagat merupakan cabaran yang perlu dihadapi oleh rakyat Malaysia. Semenjak orang Barat memulakan era penjajahan mereka di Timur pada abad ke-15, mereka tidak berhenti untuk mendominasi masyarakat lain. Melalui penjajahan, mereka membawa pemikiran bahawa tamadun mereka lebih tinggi dan mengetengahkan bahawa bangsa lain kurang bertamadun.
Oleh sebab penjajahan tidak lagi diterima dalam rangka nilai dan kebebasan manusia yang dipegang pada masa kini, maka mereka memperjuangkan pila hak asasi manusia. Barat membawa masuk pengaruh dari segi ideologi, budaya hendonisme dan nilai negatif, ekonomi bebas, sains dan teknologi yang memusnahkan dan sistem politik yang dianggap terbaik bagi semua manusia. Melalui globalisasi juga mereka mengeksport segala macam keburukan yang merosakakan negara dan alam sekitar, budaya hiburan dan pengeksplotasian sumber manusia dan bahan mentah.
Malaysia tidak terkeluar daripada pengaruh ini kerana arus pembaratan dan globalisasi terlalu mendesak. Maka tidak dapat tidak, globalisasi ialah faktor perubahan budaya yang amat kuat dan pantas. Jika diperhatikan secara mendalam secara tidak lansung, gejala ini mengakibatkan lenyapnya nilai luhur dan pemikiran Barat diterima secara halus ke dalam masyarakat. Globalisasi dalam bentuk yang terselindung dan tersirat adalah lanjutan daripada proses penjajahan budaya pada abad ke-19 dan berupaya melemahkan tradisi sendiri serta menjadi penghalang kepada pembinaan jati diri dan tamadun Malaysia.
Ketiga-tiga cabaran diatas sekiranya tidak dibendung dan dikawal, akan menjurus kepada pembentukan semangat perkauman yang mendalam, meninbulkan prasangka dan mengukuhkan lagi fahaman etnosentrisme. Keadan ini seterusnya akan memberi kesan kepada hubungan etnik, integrasi, perpaduan, mudah terjadi konflik dan lebih parah lagi mengundang rusuhan kaum. Situasi ini ditambah lagi dengan beberapa persepsi yang kurang tepat tetapi menjadi pegangan dan terus dipercayai oleh sebahagian besar masyarakat Malaysia
.
KETEGANGAN HUBUNGAN ETNIK SELEPAS KEMERDEKAAN
Peristiwa 13 Mei 1969 merupakan satu tragedi berdarah yang banyak meninggalkan kesan terhadap politik, ekonomi dan sosial masyarakat Malaysia. Peristiwa 13 Mei sememangnya bukan suatu peristiwa yang berlaku secara tiba-tiba atau kerana sebab-sebab yang spontan tetapi ianya merupakan suatu rentetan kepada sebab-sebab atau peristiwa yang telah berlaku sebelumnya. Kesan pendudukan Jepun di Tanah Melayu merupakan salah satu faktor yang turut menyumbang kepada peristiwa 13 Mei. Selain itu kesan peninggalan penjajah Inggeris juga boleh dilihat sebagai punca kepada peristiwa tersebut. Amalan diskriminasi oleh Inggeris contohnya telah banyak merenggangkan lagi hubungan antara kaum di Tanah Melayu. Dari sudut ekonomi peristiwa 13 Mei, banyak meninggalkan kesan yang negatif terhadap masyarakat Melayu khasnya dan golongan bumiputera amnya. Pengenalan ekonomi mengikut ras umpamanya adalah bukti yang jelas kepada persoalan ini. Keadaan ini merupakan suatu kesan yang nyata selepas penjajahan British. Dasar ekonomi baru yang dirancangkan oleh kerajaan pada 1971 merupakan satu usaha bertujuan untuk mengimbangi kembali kedudukan ekonomi dan hubungan antara kaum di Malaysia.
Punca-Punca Yang Membawa Kepada Peristiwa 13 Mei 1969 
Peristiwa 13 Mei 1969 merupakan rusuhan kaum yang paling tragis dalam sejarah di negara ini iaitu antara orang Melayu dan orang Cina. Perbincangan ini bukan untuk melihat ketegangan yang berlaku atau ‘melukakan kembali parut yang telah pun kering’ dalam peristiwa berkenaan tetapi tujuannya lebih menjurus untuk memperkatakan rentetan sebab musabab mengapa ianya terjadi seterusnya dapat menjadi pedoman kepada semua. Hubungan antara orang Melayu dan Cina sejak berabad lamanya ibarat ‘tidur sekatil tetapi mimpinya berlainan’
. Antara punca konflik adalah:
Layanan Berat Sebelah Oleh Tentera Jepun   
Pada zaman pendudukan Jepun, masyarakat Tanah Melayu telah dilayan secara berbeza-beza. Masyarakat Cina umpamanya telah dilayan dengan begitu teruk oleh tentera Jepun berbanding dengan orang-orang Melayu. Keadaan ini berikutan Jepun yang pernah berperang dengan China sebelum ini menyebabkan perasaan saling mendendami antara satu sama lain masih segar dalam ingatan. Layanan berat sebelah ini telah menyemai perasaan permusuhan antara orang-orang Melayu dan Cina.
Dasar Pecah & Perintah Penjajah Inggeris
Hasil daripada kajian, kejadian ini disebabkan oleh dasar  “pecah dan perintah” yang diamalkan oleh British yang mengaitkannya dengan beberapa faktor. Dasar penjajah Inggeris yang mengamalkan konsep pecah dan perintah merupakan satu tindakan yang berkesan dan telah menjadi punca wujudnya jurang antara kaum sama ada dari sudut ekonomi dan juga polarisasi kaum. Umpamanya orang-orang Cina tinggal di bandar-bandar menjalankan perniagaan dan juga di kawasan-kawasan lombong sebagai pelombong dan merekalah sebenarnya memiliki aset yang tinggi dalam ekonomi masyarakat Malaysia. Sementara orang-orang Melayu tinggal di luar bandar sebagai petani atau nelayan kecil. Kaum India kebanyakannya pula sebagai buruh kasar kerajaan dan pekerja di ladang. Pada hakikatnya kegiatan ekonomi orang-orang Melayu dan India adalah bercorak sara diri. Keadaaan ini menyebabkan kedudukan ekonomi masyarakat bumiputera khususnya Melayu menjadi lemah dan ketinggalan. Corak penglibatan ekonomi antara kaum dalam kegiatan ekonomi yang berbeza telah menjadikan kedudukan sosio-ekonomi mereka tidak seimbang.
Dasar  ini  dilakukan  oleh  British  untuk  mengelakkan  perpaduan  antara pelbagai  kaum  yang  dikhuatiri  akan  mengancam  kedudukan  mereka. Masyarakat  Melayu  terdiri  dari  petani  dan  nelayan  di  kampung, masyarakat  Cina  pula  telah  mewarisi  perniagaan  secara  turun  temurun dan  tinggal  di  bandar  manakala  masyarakat  India  bekerja  sebagai penoreh  dan  tinggal  di  estet. Dasar  ini  telah  berjaya  direalisasikan  bagi mewujudkan  kelompok-kelompok  etnik  yang  berdasarkan  kegiatan ekonomi  yang  tinggal  dalam  kelompok  masing-masing.  Kesannya, interaksi  antara  kaum  hanya  terbatas  di  pejabat  dan  pasar  sahaja.  Ini melahirkan perasaan prasangka antara kaum yang telah mengapi-apikan lagi tercetusnya sentimen 13 Mei 1969.
Suasana yang seperti ini menyebabkan hubungan masyarakat antara kaum di negara ini menjadi terbatas. Di sisi penjajah keadaan seumpama ini amat baik baginya untuk mengukuhkan kedudukannya serta mengekalkan kuasa mereka. Suasana yang tidak seimbang ini telah berlanjutan sekalipun negara telah mencapai kemerdekaan . Bahkan suasana sosio-ekonomi yang tidak seimbang itu semakin melebar akibat daripada penekanan yang berlebihan terhadap pertumbuhan ekonomi tanpa menghiraukan ketidakseimbangan sosio-ekonomi dalam masyarakat Malaysia. Perkembangan rumit yang melibatkan kelas dan kaum ini akhirnya telah membawa kepada meletusnya peristiwa 13 Mei 1969. Kerajaan yang sedar akan keresahan dan perasaan tidak puas hati yang berlaku antara kaum tidak seharusnya dibiarkan. Berikutan inilah lahirnya Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dilancarkan pada tahun 1971 sebagai usaha untuk memulihkan keadaan. Latar belakang pendidikan yang berbeza juga telah dikaitkan sebagai punca yang membawa kepada meletusnya peristiwa 13 Mei.
Latar belakang pendidikan yang berbeza 
Latar belakang pendiikan yang berbeza juga telah dikaitkan sebagai punca yang membawa kepada meletusnya peristiwa 13 Mei. Sebelum  Malaysia  memiliki  sistem  pendidikan  Nasional,  wujud  empat  aliran pendidikan  yang  berlainan  iaitu  aliran  Inggeris,  Melayu,  Cina  dan  India yang  mengambil  silibus  pembelajaran  berbeza  yang  menyebabkan ketidakseragaman bahasa, identiti dan fahaman. Kempat-empat aliran ini mempunyai kurikulum yang tersendiri. Sekolah Melayu menekankan kemahiran menulis, membaca dan mengira sekadar keperluan peringkat rendah sahaja. Manakala kurikulum sekolah Cina dan India pula masing-masing berkiblatkan negeri asal mereka, malah buku-buku teks dan guru-guru yang mengajar juga telah dibawa dari Negeri China dan India. Keadaan ini telah mengukuhkan lagi keadaan keperibadian etnik yang telah sedia wujud. Sekolah Inggeris pula hanya dapat dinikmati oleh orang-orang Cina dan India yang tinggal di bandar-bandar sahaja. Ini telah menyebabkan timbulnya  pelbagai  masalah  yang  memberi  impak  buruk  dalam pembentukan kaum di Malaysia. Walaupun selepas kemerdekaan kerajaan cuba memperkenalkan dasar-dasar pendidikan baru bagi tujuan penyelarasan namun proses perpaduan ini sukar dilakukan. 
Dasar Pelajaran Kebangsaan yang dirasmikan sebagai Ordinan Pelajaran 1957 telah dikecam oleh pelbagai pihak bukan Melayu . Ini kerana mereka merasakan langkah itu terlalu mengutamakan bahasa Melayu, namun Kesatuan Guru-Guru Melayu Semenanjung (KPGMS) pula tidak berpuas hati dengan perlaksanaannya. Mereka berasa kecewa dengan sikap kerajaan yang tidak menubuhkan sekolah menengah dan universiti yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pada awal 1958 sebagaimana yang telah dirancangkan. Bagaimanapun berkat perjuangan beberapa orang tokoh termasuk Tuan Syed Nasir bin Ismail, sebagai pengerusi dan Dr. Mahathir Mohamad sebagai naib pengerusi, termasuk juga antaranya dua orang tokoh UMNO ketika itu iaitu Tun Razak bin Hussain, Dato` Dr.Ismail bin Abdul Rahman, akhirnya gagasan Universiti Kebangsaan yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar telah mendapat sokongan UMNO dan kerajaan perikatan dan ianya berjaya ditubuhkan pada 18 Mei 1970. Berikutan penubuhan Universiti Kebangsaan ini telah mendapat reaksi yang kurang menyenangkan daripada kaum Cina, apabila mereka juga telah mengemukakan permohonan untuk menubuhkan Universiti Merdeka. Oleh kerana pilihan raya 1969 sudah hampir maka pihak MCA telah mendakwa bahawa sekiranya mereka tidak menyokong projek Universiti Merdeka maka ramai pengundi keturunan Cina akan menolak mereka dalam pilihan raya nanti. Untuk itu kerajaan telah menyelesaikan tuntutan itu secara memberi kebenaran kepada MCA menubuhkan Kolej Tunku Abdul Rahman (KTAR). Suatu keganjilan di sini apabila kerajaan telah memberi bantuan kepada sebuah institusi pendidikan yang bercanggah dengan Dasar Pelajaran Kebangsaan. KTAR sebenarnya menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantarnya. Namun itulah hakikatnya kerajaan sedapat mungkin cuba bertolak ansur demi menjaga keharmonian masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa.
Pertelingkahan Parti Politik 
Dalam pilihan raya 1964 Parti Tindakan Rakyat (Petir) atau PAP Singapura telah turut serta dalam pilihan raya. Walaupun sudah ada persetujuan antara Tunku dan Lee Kuan Yew sebagai pemimpin PAP yang tidak akan menyertai pilihan raya itu. Namun apabila pilihan raya itu berlangsung PAP telah meletak calonnya seramai sembilan orang.  Bagaimanapun setelah Tunku membuat perisytiharan bahawa beliau tetap mengekalkan keanggotaan MCA dalam perikatan, maka PAP yang gagal untuk menyertai Perikatan telah menukar corak kempennya dengan menyerang UMNO dan orang-orang Melayu. Mereka mula membangkitkan kedudukan istimewa orang Melayu, soal bahasa, malahan taraf bumiputera orang-orang Melayu turut dipersoalkan tanpa menghiraukan rasa tersinggung orang-orang Melayu. Sedangkan segala-galanya telah dipersetujuinya sebelum ini. Setelah gagal dalam pilihan raya, PAP telah menubuhkan Konvensyen Perpadauan Malaysia (KPM) dengan disertai oleh Parti Progresif Rakyat dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak. KPM juga telah menyebarkan cogan kata "Malaysia hak orang Malaysia" (Malaysian Malaysia) dengan tujuan supaya hak istimewa orang Melayu atau bumiputera dihapuskan.
Perlu ditegaskan di sini bahawa tuntutan KPM itu adalah bercanggah sama sekali dengan kandungan perlembagaan Malaysia yang memberikan hak istimewa kepada orang Melayu dan bumiputera lain yang telah dipersetujui oleh PAP sewaktu menyertai Malaysia pada 16 Sept 1963. Perikatan sememangnya menerima persamaan hak tetapi perkara ini perlu di selesai secara berperingkat. Peringkat awal perlu dilaksanakan langkah-langkah untuk memulihkan kedudukan ekonomi orang Melayu dan bumiputera lain yang telah jauh tertinggal di belakang. Keputusaan pilihanraya pada 10 Mei 1969 telah menunjukkkan kemerosotan pengaruh Perikatan di kalangan rakyat. Hakikat ini sebenarnya membuktikan apa sahaja kelemahan yang cuba ditonjolkan oleh parti-parti pembangkang khususnya DAP telah mendapat sambutan dari kalangan rakyat malah mereka boleh dikatakan berjaya dalam meniupkan sentimen perkauman antara Melayu dan bukan Melayu. Dalam pilihan raya itu Perikatan telah terlepas Pulau Pinang ke tangan parti Gerakan, sementara Kelantan pula tetap di tangan PAS. Bagaimanapun bagi negeri-negeri seperti Selangor dan Perak, Perikatan hampir-hampir gagal untuk menubuhkan kerajaan kerana kelebihan majoritinya yang sangat sedikit. Berikutan sedikit kejayaan di pihak DAP itu telah menggawatkan lagi suasana yang sedia tegang ketika itu. Orang-orang Cina merasakan yang mereka sudah menang dan dapat menewaskan orang-orang Melayu lantaran itu mereka berasa sangat angkuh lalu mengeluarkan kata-kata yang menghina terhadap UMNO dan orang-orang Melayu amnya. Peristiwa ini berlaku sewaktu satu perarakan kemenangan oleh DAP dan Gerakan. Mereka telah melalui jalan-jalan yang tidak dibenarkan bahkan melanggar batasan waktu yang telah dibenarkan oleh pihak polis. Perarakan ini telah melalui Kampung Bharu iaitu kampung terbesar yang didiami oleh orang-orang Melayu di Kuala Lumpur di mana terdapat lebih tiga puluh ribu penduduk Melayu tinggal di situ. Sewaktu melalui kawasan itu mereka yang terdiri daripada gabungan ahli-ahli DAP dan Gerakan telah menghamburkan kata-kata kesat seperti "Melayu sudah jatuh", "Kuala Lumpur sekarang Cina punya," "Ini negeri bukan Melayu punya, kita mahu halau semua Melayu". Orang-orang Cina juga dikatakan telah mengikat penyapu besar pada lori sebagai simbol untuk menyapu orang-orang Melayu keluar dari Kuala Lumpur. Berikutan itu pada petang 13 Mei 1969, UMNO Selangor telah menyeru ahli-ahlinya supaya datang dan berkumpul di rumah Menteri Besar ketika itu iaitu Dato` Harun Idris untuk mengadakan perarakan balas di mana mereka sebenar bukannya kalah tetapi sekadar kurang majoriti sahaja namun masih boleh membentuk kerajaan. Menurut laporan seorang pegawai polis, pada petang itu sekumpulan orang Melayu dari Gombak yang lalu mengikut Setapak telah diserang oleh orang Cina. Ada sebahagian daripada mereka yang terlepas daripada serangan itu telah pergi ke rumah Menteri Besar dan menyampaikan berita itu lalu dengan segera orang-orang Melayu yang sedang berkumpul di situ telah mengambil tindakan balas, maka bermulalah pergaduhan antara kaum yang dikenali sebagai peristiwa 13 Mei 1969. Dalam pada itu ada juga sumber-sumber sejarah yang mengatakan peristiwa sebenar berkaitan peristiwa 13 Mei ini telahpun bermula di Pulau Pinang tidak lama sebelum itu. Peristiwa ini dikaitkan dengan suatu tindak balas yang berupa simpati golongan pemuda-pemuda pelampau Cina terhadap perjuangan komunis.
Perasaan tidak puas hati terhadap hak istimewa orang melayu 
PAP telah secara lantang menyuarakan rasa tidak puashati terhadap apa yang disebut sebagai hak istimewa orang Melayu dalam perlembagaan. Mereka mendakwa hak kaum-kaum lain telah diketepikan kononnya mereka telah tersisih daripada keadilan. Oleh sebab itu menurut Jomo dalam bukunya "Pembangunan Ekonomi dan Kelas Sosial di Semenanjung Malaysia", isu sebenar yang mencetuskan peristiwa 13 Mei adalah perasaan tidak puas hati terhadap hak istimewa orang Melayu. Namun hakikat sebenarnya kedudukan taraf ekonomi orang Melayu adalah terkebawah berbanding dengan kaum Cina. Pendeknya apa yang didakwa oleh orang-orang Cina yang mereka terjejas oleh peruntukan hak istimewa orang Melayu ini adalah sebagai alat semata-mata umtuk mereka berlindung di sebaliknya bagi menarik perhatian dan sokongan ramai terutama menjelang pilihan raya 1964. Menyedari akan bahayanya pengaruh majoroti Cina dari Singapura ini, Tunku telah mengambil keputusan untuk memaksa Singapura keluar dari Malaysia pada 9 Ogos 1965. Namun keadaan ini tidak mematahkan semangat PAP untuk cuba membela nasib orang-orang Cina di Tanah Melayu. Berikutan itu sebuah parti baru telah ditubuhkan di Malaysia bagi mengambilalih fungsi PAP sebelum ini. Parti baru itu diberi nama Parti Tindakan Demokratik (DAP). Menjelangnya pilihanraya 1969 parti DAP dan parti-parti pembangkang lain telah memainkan isu-isu sensitif dan perkauman termasuk membangkitkan soal-soal ketidakadilan menyebabkan perasaan tidak puas hati dan kegelisahan di kalangan rakyat menjadi bertambah. Sebenarnya apa yang cuba dilakukan oleh parti-parti politik ini bertujuan untuk mendapatkan kemenangan dalam pilihanraya, di mana mereka tidak mempedulikan sentimen antara kaum yang boleh membahayakan itu.
Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara 
Isu bahasa juga tidak kurang pentingnya dalam menyumbangkan faktor kepada peristiwa 13 Mei. Berikutan perisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu 1957, sebuah perlembagaan Persekutuan telah dibentuk yang antara lainnya menyatakan dengan jelas tentang kedudukan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris adalah sebagai bahasa rasmi negara. Selepas sepuluh tahun merdeka kerajaan akan mengkaji semula tentang kedudukan bahasa Inggeris dengan tujuan untuk mengugurkannya daripada status bahasa rasmi dan hanya Bahasa Melayu sahaja yang diiktiraf sebagai bahasa rasmi. Untuk mencapai tujuan itu, pada 31 Ogos 1967 kerajaan telah mengadakan pelbagai kegiatan bagi tujuan memperluaskan penggunaan bahasa Melayu . Antara kempen yang dijalankan ialah Hari Bahasa Kebangsaan, Minggu Bahasa Kebangsaan dan Bulan Bahasa Kebangsaan. Pelaksanaan penggunaan Bahasa Kebangsaan telah dipelopori oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dengan dipimpim oleh Syed Nasir bin Ismail.
Perbezaan agama dan budaya
Kaum Melayu sebahagian besarnya beragama Islam, kaum Cina beragama Buddha,  Lao-Tza,  Taoisme,  Conficius  manakala  kaum  India  beragama Hindu. Di samping itu terdapat juga yang beragama Kristian. Setiap kaum juga mempunyai kebudayaan  yang  tersendiri.  Masalah  perpaduan  ini bukannya  bermula  disebabkan  agama  lain  tetapi  akibat dari sikap jahil terhadap agama-agama lain hingga banyak perkara yang dilakukan secara tidak sengaja telah menyinggung emosi penganut agama lain. Inilah punca yang telah mengakibatkan peristiwa 13 Mei 1969.
Masalah ekonomi
Kegiatan ekonomi berbeza telah mewujudkan jurang pendapatan berbeza antara  kaum  dan  menimbulkan  rasa  tidak  puas  hati  dan  persaingan ekonomi  secara  tidak  sihat. Ketidakseimbangan ini menyebabkan setiap kaum saling mencemburui satu sama lain. Orang melayu mencemburui kemewahan dan kejayaan orang cina manakala orang  Cina dan India mencemburui kelebihan orang Melayu yang mendapat peluang perkhidmatan dalam sektor pentadbiran.
Persatuan-persatuan etnik
Struktur masyarakat pelbagai kaum di Malaysia telah melahirkan banyak persatuan  politik,  sosial  dan  ekonomi  yang  memperjuangkan  kaum masing-masing  tanpa  menghiraukan  kaum-kaum  yang  lain. Peristiwa 13 Mei 1969 adalah peristiwa tragis yang terburuk dialami oleh Malaysia hampir-hampir memusnahkan negara ini. Alhamdulillah, dengan kebijaksanaan pemimpin dan semangat setia kawan rakyat, bencana itu telah dapat ditangani dan negara kembali pulih seperti sediakala. Banyak pengajaran yang boleh dipelajari daripada bencana itu. Antara yang terpenting ialah mustahaknya memperkukuhkan perasaan muhibah dan ikatan perpaduan antara kaum demi kestabilan politik dan keselamatan Malaysia yang berbilang kaum ini.
Kesan peristiwa 13 Mei 1969 dalam aspek ekonomi
Ketidak seimbangan ekonomi di kalangan kaum merupakan suatu faktor yang telah dikenal pasti sebelum ini sebagai salah satu sebab yang membawa kepada peristiwa 13 Mei. Perasaan kurang senang ekoran daripada ketidakseimbangan sosio-ekonomi antara kaum telah menimbulkan pelbagai tanggapan salah dan perasaan resah serta irihati yang berterusan di kalangan masyarakat dan inilah keadaan yang sebenar berlaku sebelum peristiwa 13 Mei. Oleh yang demikian pihak kerajaan tidak teragak-agak lagi untuk merangka suatu pelan tindakan yang menyeluruh bagi membendung dan mengatasi masalah itu. Atas alasan itulah pada tahun 1971 kerajaan telah melancar Dasar Ekonomi Baru (DEB). DEB telah dilancarkan bersama-sama Rancangan Malaysia Kedua. Terdapat dua matlamat utama dalam pelancaran DEB, iaitu iaitu pembasmian kemiskinan 'tanpa mengira kaum,' dan kedua penyusunan semula masyarakat Malaysia bertujuan untuk menghapuskan pengenalan kaum berdasarkan fungsi ekonomi.
Sementara objektif utama pelancaran Dasar Ekonomi Baru ialah untuk memulihkan hubungan dan ketidak seimbangan sosio-ekonomi antara kaum. Adalah menjadi harapan agar melalui langkah ini proses agihan kekayaan dan pendapatan serta peluang ekonomi yang lebih seimbang dan menyeluruh akan dapat dilaksanakan. Dengan itu diharapkan perpaduan negara akan lebih terpelihara. DEB telah dirancang untuk tempoh 20 tahun iaitu dari tahun 1971 hingga tahun 1990. Matlamat yang hendak dicapai dalam tempoh tersebut ialah seperti berikut: 19 Peratus penanaman modal dalam syarikat Bhd. 1971-1990. Bumiputera 1.5%-30%, Bukan Bumiputera 23.7%-40%, Asing 62.1%-30%. 
Membasmi Kemiskinan
Sesungguhnya usaha untuk membasmi kemiskinan bukanlah suatu perkara yang mudah. Perlaksanaan DEB sendiri agak perlahan. Usaha untuk membasmi kemiskinan hanya melibatkan tindakan yang tidak mengancam kepentingan golongan yang berharta. Umpamanya tindakan kerajaan menyediakan kemudahan pemasaran dan kredit kepada kaum tani tidak menampakkan tamparan terhadap kepentingan para kapitalis bukan Melayu. Antara langkah kerajaan ialah rancangan penerokaan tanah bagi mereka yang tidak mempunyai tanah, peluang pekerjaan bagi penganggur, serta produktiviti dan kenaikan harga barangan bagi petani. Namun begitu tindakan seumpama ini akan dibatasi oleh keadaan ekonomi. Contohnya kerajaan mungkin berjaya mengawal harga padi dalam pasaran tempatan melalui langkah-langkah tertentu yang diambil, sebaliknya kerajaan tidak terdaya untuk berbuat demikian bagi getah yang dijual di pasaran antarabangsa. Bagaimanapun langkah kerajaan dalam menangani masalah kemiskinan kaum bumiputera sedikit sebanyak telah berhasil. Sekitar tahun 70-an, pertumbuhan ekonomi Malaysia adalah pesat. Sekalipun barangan ekspot seperti getah didapati sukar bagi kerajaan untuk mengawal kestabilan harganya kerana dipengaruhi oleh pasang surut pasaran antarabangsa di mana ia turut mempengaruhi kadar kemiskinan di kalangan pekerja ladang contohnya naik daripada 40 peratus pada tahun 1970 kepada 47 peratus (1975), sebelum jatuh kepada 35.1 peratus (1980), kemudian meningkat semula kepada 54.6 peratus (1983).
Berbalik kepada kadar kemiskinan di kalangan penanam padi telah turun daripada 88.1 peratus (1970) kepada 77.0 peratus (1975), dan turun lagi kepada 52.7 peratus (1980), tetapi ianya meningkat semula kepada 54.0 peratus (1983). Kadar penurunan yang nyata daripada tahun 1970 adalah kesan daripada subsidi yang dibekalkan oleh kerajaan. Sebaliknya peningkatan kos pengeluaran termasuk kenaikan harga input-input pertanian seperti baja dan racun menyebabkan peratusnya meningkat semula.
Strategi dan Usaha Membasmi Kemiskinan
Dalam usaha membasmi kemiskinan kerajaan telah mengkategorikannya kepada dua bahagian iaitu kemiskinan di bandar dan kemiskinan luar bandar. Berdasarkan bancian penduduk 1970 terdapar kira-kira 49.3 peratus daripada semua keluarga di Semenanjung Malaysia menerima pendapatan di bawah paras kemiskinan. 86 peratus daripadanya berada di kawasan luar bandar dan 14 peratus di kawasan bandar. Bagi kemiskinan luar bandar , program pembangunan lebih tertumpu kepada penyediaan kemudahan asas dan pembangunan tanah . Golongan sasarannya ialah petani, pekebun kecil getah dan kelapa, nelayan, pekerja ladang, penduduk kampung baru dan buruh kasar pertanian.
Antara langkah yang dijalankan ialah menyedia dan menambah kemudahan asas seperti bekalan air, elektrik, pengairan, perumahan, kesihatan, pengangkutan, pelajaran atau latihan, kemudahan kredit serta pemasaran dan subsidi pertanian seperti benih dan baja. Kerajaan juga melipatgandakan pembangunan dan pembukaan, penerokaan dan kemajuan tanah baru. Langkah seterusnya, kerajaan berusaha menyalurkan teknologi moden di bidang pertanian, perikanan dan penternakan. Selain itu kaedah penanaman dua kali setahun, tanaman luar musim dan tanaman kontang turut diperluaskan. Badan-badan berkanun yang bertanggungjawab dalam melaksanakan rancangan ini seperti FELDA, RISDA, FELCRA, MADA dan KADA. Kemiskinan di bandar pula biasanya dikaitkan dengan migrasi masyarakat luar bandar ke bandar. Oleh sebab itu di bandar juga turut memerlukan penyediaan kemudahan asas seperti pembinaan rumah kos rendah, kemudahan air, elektrik dan peluang pekerjaan yang lebih banyak. Pendeknya langkah menyediakan kemudahan asas yang lebih sempurna adalah suatu usaha untuk mengurangkan kemiskinan di bandar. Dari segi pencapaian usaha ini, kerajaan didapati berjaya dalam usaha mengurangkan kemiskinan di negara ini, di mana sebanyak 78,100 keluarga miskin pada 1970 telah berjaya dikurangkan kepada 66,100 pada tahun 1980. Ia merupakan kadar kemiskinan yang jatuh daripada 49.3 peratus kepada 29.2 peratus. Sementara pendapatan purata RM76 pada tahun 1970 telah bertambah menjadi RM186 pada tahun 1979. Sekali pun ia masih di bawah garis kemiskinan namun ia telah menampakkan satu peningkatan. Pemerhatian ini dibuat berdasarkan angka tunjuk antara tahun-tahun 1975 dan 1980.
Pada hakikatnya Kerajaan melalui Rancangan Malaysia kedua cuba menggariskan beberapa tujuan baru, antaranya berusaha mempelbagaikan ekonomi dan pertanian untuk mengurangkan pergantungan kepada getah dan bijih timah, kedua ia juga bertujuan untuk mempergiatkan perusahaan pembuatan dengan tujuan mempelbagaikan kegiatan ekonomi serta mengurangkan masalah pengangguran di samping mengubah corak negara ke arah sebuah negara Industri. Keadaan ini lebih jelas lagi apabila Malaysia di bawah kepimpinan mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad. Ketiga ia bertujuan meningkatkan lagi pengeluaran bahan-bahan makanan terutamanya beras kerana negara ketika itu hanya mampu mengeluarkan satu pertiga sahaja daripada keperluan kependudukan negara. Bagi melaksankan segala tujuan dan rancangan ini kerajaan telah memperuntukkan sebanyak 14,350 juta ringgit melalui Rancangan Malaysia Kedua. Apa yang jelas pelancaran DEB bersama Rancangan Malaysia Kedua ini ialah kerajaan cuba memberi penekanan terhadap pembelaan nasib kaum bumiputera khasnya orang-orang Melayu secara lebih terbuka.
Walaupun kadar kemiskinan negara telah berkurangan namun masalah kemiskinan masih berterusan terutama di kalangan penduduk luar bandar dan golongan termiskin. Untuk itu ia telah menjadi teras bagi pencapaian matlamat pengagihan dalam Dasar Pembanguinan Nasional (DPN) sebagaimana yang terdapat dalam Rangka Rancangan Jangka Panjang Kedua (RRJP2). Tahun 1990 adalah tahun berakhirnya tempoh pelaksanaan DEB. Sekalipun DEB tidak menampakkan satu kejayaan yang menyeluruh namun telah banyak juga kejayaan yang dicapai. Maka bagi memenuhi segala hasrat yang dirangka dalam DEBlah kerajaan telah memperkenalkan RRJP2. DPN telah dilancarkan oleh Y.A.B Dato` Sri Dr. Mahathir Mohamad pada 17 Jun 1991. Antara objektifnya ialah membina dan mengukuhkan perpaduan negara malah ianya sangat penting bagi mengekalkan kestabilan sosial dan politik serta dapat mengekalkan pembangunan ekonomi yang berterusan. DPN juga merupakan satu langkah untuk membolehkan Malaysia mencapai taraf sebuah negara maju. DPN telah mengambilkira segala kemajuan yang telah dicapai di bawah DEB serta kekuatan dan kelemahan yang wujud semasa perlaksanaannnya. Antara dimensi-dimensi baru yang terdapat dalam DPN ialah seperti berikut:
i) Memberi penekanan yang lebih kepada strategi pembasmian kemiskinan untuk tujuan menghapus kemiskinan di kalangan keluarga termiskin tegar (hardcore poor) di samping mengurangkan kemiskinan relatif. Golongan termiskin adalah keluarga berpendaptan 50% atau kurang kurang daripada Pendapatan Garis Kemiskinan. Bagi tahun 1990, Pendapatan Garis Kemiskinan ialah sebanyak RM370 sebulan bagi saiz isi rumah 5.1 di Semenanjung Malaysia, RM544 bagi saiz isi rumah 5.4 di Sabah dan RM452 bagi saiz isi rumah 5.2 di Sarawak. Kira-kira 143,000 isi rumah atau 4% daripada jumlah isi rumah adalah tergolong sebagai keluarga termiskin;
ii) Menumpukan perhatian kepada pembangunan sebuah masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB) sebagai satu strategi penting kearah meningkatkan dan seterusnya mengekalkan penyertaqan Bumiputera dalam kegiatan ekonomi; 
iii) Meningkatkan penekanan kepada sektor swasta untuk melibatkan diri dalam proses penyusunan semula masyarakat; dan 
iv) Memberi lebih tumpuan kepada pembangunan sumber manusia termasuk sistem nilai dan etika bagi mencapai matlamat pertumbuhan ekonomi dan pengagihan yang saksama.
Apabila diperbincangkan tentang perubahan dan kesan dasar ekonomi negara ditafsirkan sebagai ‘cara pengurusan’ dan ‘cara pengawalan’ sesebuah ekonomi dan sesebuah system ekonomi. Sesuatu dasar ekonomi Negara hanya dapat dilihat secara dedaktif iaitu tidak secara langsung
. Bermulanya sejarah pengenalan kaum-kaum terbesar di Malaysia menerusi fungsi-fungsi ekonomi. Gejala inilah yang menjadi bibit-bibit pertelingkahan antara kaum. Pergolakan dasar ekonomi Negara dalam jangka masa (1957-1969) sebahagian besar dapat dicerminkan melalui Rancangan Malaya I, Rancangan Malaya II, dan Rancangan Malaysia I. Berbeza dengan Negara-negara dunia ketiga yang mencapai kemerdekaan mereka secara revolusi sedangkan negara kita mencapai kemerdekaan melalui perundingan dan tolak ansur dengan kerajaan British. Oleh itu perubahan politik di negara ini adalah secara berperingkat-peringkat yakni bercorak evolusi. Implikasinya perubahan dasar ekonomi negara juga berlaku secara evolusi dimana perubahan-perubahan besar serta radikal tidak berlaku ketika mencapai kemerdekaan. Wujudnya kadar “political will” yang begitu tinggi dalam rancangan Malaysia II dan Rancangan Malaysia III adalah disebabkan pergolakan yang berlaku pada tahun 1969 iaitu 13 Mei yang mengkehendaki penghapusan masalah asas masyarakat Malaysia iaitu kekurangan perpaduan antara kaum. Dasar ekonomi baru selalunya dikaitkan dengan peristiwa 13 Mei. Tetapi sebenarnya, DEB itu memang telah pun difikirkan sebelum berlakunya peristiwa 13 Mei dan perancangan Malaysia II. Za’ba ada menghuraikan tentang kemunduran serta kemiskinan orang Melayu dalam konteks Ekonomi Tanah Melayu di dalam akhbar tempatan. Za’ba juga menganalisa dan memberi syor secara implikasi bagaimana hendak mengatasi masalah-masalah tersebut dan mengikut Ungku Aziz (1982) tentang keperluan untuk menyusun semula masyarakat dan untuk menghapuskan kemiskinan dalam kalangan orang Melayu. Selepas berlakunya rusuhan kaum 13 Mei 1969, Tunku Abdul Rahman iaitu Perdana Menteri pada masa itu telah mengambil keputusan untuk menubuhkan Mageran pada 14 Mei. Kemudian pada 16 Mei mesyuarat cabinet telah diadakan di mana Allahyarham Tun Abdul Razak dilantik secara rasmi menjadi pengarah Majlis Gerakan Negara (MAGERAN).   
Strategi Penyusunan Semula Masyarakat 
Strategi kedua DEB ialah penyusunan semula masyarakat dengan menekankan penglibatan kaum Melayu atau Bumiputera dalam kegiatan ekonomi moden dan yang bertapak di bandar. Strategi ini bertujuan untuk menseimbangkan kedudukan dan penyertaan semua kaum dalam sektor ekonomi. Jika diperhatikan taburan penduduk mengikut kaum yang dipengaruhi oleh dasar penjajah dulu masih lagi berterusan. Hakikatnya bukan sahaja tempat tinggal malah dari segi sosioekonomi dan politik juga turut berbeza. Keadaan yang sedemikian merupakan penghalang kepada usaha-usaha untuk mencapai integrasi nasional. Kesan daripada penjajahan, pemilikan dan penguasaan modal kebanyakannya adalah dikuasai oleh orang asing. Kalangan rakyat Malaysia pula pemilikan dan penguasaan kebanyakan modal berada dalam tangan kaum Cina. Dengan itu strategi penyusunan semula hak milik dan kekayaan telah disusun supaya pemilikan asing dapat dikurangkan. Begitu juga dengan penguasaan modal oleh kaum Cina dalam industri dan perniagaan seharusnya diagih semula bagi menseimbangkan penguasaan modal. Untuk itu DEB telah menyusun strategi supaya menjelang tahun 1990, kaum Bumiputera dapat menambah saham syarikat kepada 30% berbanding dengan 40% bagi warga Malaysia bukan Bumiputera dan 30% bagi pihak asing. Matlamat ini masih dikekalkan ke dalam Rancangan Malaysia keenam tetapi tiada jangka masa tertentu ditetapkan untuk pencapaiannya. Berikut adalah jadual yang menunjukkan pemilikan modal saham dalam sektor syarikat dalam jangka masa 1971 - 1990.
Persoalan yang timbul adalah adakah corak yang ditunjukkan itu memungkinkan tercapainya sasaran? Beberapa ciri berikut boleh diteliti:
i. Dalam tempoh 1971-1990, peratusan hak milik penduduk Malaysia telah meningkat daripada 38.3% pada tahun 1971 kepada 57.1% pada tahun 1980 dan 74.9 pada tahun 1990.
ii. Dalam tempoh yang peratus hak milik Bumiputera perseorangan dan agensi amanah telah meningkat daripada 4.3% pada tahun 1971 kepada 44.6%pada tahun 1980dan 20.3% pada tahun 1990 .
iii. Dalam tempoh yang sama juga hak milik rakyat Malaysia lain telah meningkat daripada 34.0%pada tahun 1971 kepada 44.6%pada tahun 1980dan 54.6%pada tahun 1990.
iv. Dalam tempoh yang sama juga hak milik penduduk asing telah menurundaripada 61.7%pada tahun 1971 kepada 42.9% pada tahun 1980dan 25.1 pada tahun 1990.
v. Membandingkan nisbah 30:40:30 yang ingin dicapai, didapati hanya hak milik penduduk Malaysia bukan Bumiputera yang perlu diagih semula untuk meningkatkan peratusan hak milik Bumiputera. 
Bagaimanapun, perkembangan sebahagian besar hak milik Bumiputera datang dari sumbangan syarikat swasta milik Bumiputera di samping Skim Amanah Saham Nasional (ASN) dan Amanah Saham Bumiputera (ASB) yang dilaksanakan oleh Permodalan nasional Berhad (PNB). Dalam pada itu Skim ASN telah berjaya memindahkan kekayaan Bumiputera yang disimpan secara amanah oleh kerajaan menerusi agensi-agensi kepada segolongan besar masyarakat Bumiputera. Lewat tahun 1985, skim tersebut berjaya menarik ramai pelabur Bumiputera iaitu kira-kira 43% daripada jumlah yang layak melabur. Dalam pada itu hak milik dan penyertaan Bumiputera dalam sektor perniagaan dan perkhidmatan kecil menunjukkan kemajuan yang boleh dibanggakan. Contohnya dalam sektor perdagangan runcit bilangan pertubuhan milik Bumiputera telah meningkat dari 13% dalam tahun 1971 kepada 34.2% pada tahun 1981. Bagaimanapun jumlah pemilikan modal Bumiputera daripada saham-saham tersebut masih lagi kecil. Daripada jumlah pelabur itu, 85% melabur sebanyak 500 unit atau kurang. Jadi matlamat DEB masih tidak tercapai dan ia memerlukan masa dan usaha yang lebih giat ke arah itu. Dalam usaha mewujudkan sebuah negara industri, penglibatan Bumiputera amatlah perlu demi mengelakkan wujud ketidakseimbangan. Oleh itu strategi untuk menggalakkan penyertaan kaum Melayu atau Bumiputera dalam sektor perkilangan dijangka akan meningkatkan bilangan pemodal Melayu dan seterusnya membantu mewujudkan kesan lelehan kekayaan yang dihasilkan oleh mereka. Dalam proses ini dijangka lebih banyak penduduk Melayu akan menikmati menafaat daripda pertumbuhan berteraskan pengayaan golongan pemodal Melayu atau Bumiputera. Namun andaian itu sukar untuk direalisasikan. Ini kerana dalam pasaran bebas terutama dalam kontek masyarakat Melayu sehingga kini, hanya segelintir sahaja golongan pemodal Melayu yang muncul. Maka selagi bilangan pemodal tidak bertambah, selagi itulah negara menghadapi masalah untuk mewujudkan kesan lelehan. Tambahan pula satu syarat penting ke arah itu, pertumbuhan ekonomi mestilah tinggi. Dengan demikian masalah agihan pendapatan di kalangan Bumiputera masih di tahap mendukacitakan malah ada pendapat yang mengatakan walaupun faedah yang dinikmati oleh kaum Melayu atau Bumiputera semenjak pelancaran DEB meningkat, namun pertambahan ini tidak sama rata kerana ada kumpulan yang mengecap nikmat lebih daripada yang lain. Andainya corak ini berterusan, maka jurang perbezaan di kalangan kaum Melayu akan bertambah. Jadi arus perubahan ini akan meluaskan lagi masalah ketaksamaan di kalangan kaum Melayu.
KEPERLUAN Hubungan Etnik
pastedGraphic.pdf Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang mempunyai pelbagai etnik, agama dan bahasa semestinya tidak dapat lari dari menghadapi cabaran, masalah dan salah faham dalam hubungan etnik. Hubungan etnik adalah antara isu yang paling penting dalam sejarah pembentukan negara-bangsa Malaysia. Dalam sebuah negara multi-etnik, dengan sistem politik yang berpaksikan etnik, dengan banyak parti politik yang ditubuhkan untuk mewakili kepentingan kumpulan etnik mereka yang tersendiri, etnisiti sering dipolitikkan untuk mendapat undi, kuasa, dan kekuasaan. 
Etnisiti dalam konteks ini bukan sahaja merupakan simbol yang mencerminkan, menggambarkan, atau mewakili sesuatu kumpulan, tetapi ianya juga boleh dan sering digunakan sebagai alat mendapatkan sesuatu kepentingan. Etnisiti, kalau dilihat secara kasar, mempunyai kedua-dua konotasi positif dan negatif, tergantung kepada bagaimana ianya diterima dan digunakan. Manusia, sebagai individu, maupun sebagai sebahagian dari kelompok yang lebih besar, tidak boleh lari dari isu-isu, simbol, dan label etnisiti. Kita juga tidak tidak boleh lari dari terlibat dengan aksi tolak-tarik dan perdebatan positif-negatif etnisiti. Pelbagai cabaran harus ditempuhi oleh masyarakat Malaysia disebabkan wujudnya konflik dalam masyarakat majmuk yang pelbagai etnik ini. Antara cabaran yang harus dihadapi oleh masyarakat majmuk di Malaysia ini ialah cabaran dari segi agama dan budaya, ekonomi, sosial, politik dan lain-lain.
Faktor Konflik Masyarakat Malaysia
Apabila terdapat sejumlah etnik yang berbeza-beza didalam sebuah masyarakat maka akan timbullah pelbagai masalah dalaman seperti perbezaan dalam unsur-unsur kebudayaan seperti bahasa, agama dan adat resam. Tambahan pula dengan pengasingan penempatan rentetan dari kesan tindakan penjajah hingga memberi implikasi perbezaan dari segi bentuk pekerjaan serta kawasan tempat tinggal menyebabkan timbulnya jarak sosial antara anggota masyarakat kerana kurangnya interaksi antara mereka. Apabila terbit sesuatu isu walaupun hanya dalam kes yang kecil akan tetapi ianya akan berlanjutan dalam tempoh masa yang agak panjang serta meninggalkan kesan prasangka dan prejudis yang menebal. Masalah ini semakin bertambah berat apabila apabila masyarakat enggan untuk membuka dunia sosial kepada masyarakat lain dan kecenderungan untuk mengekalkan identiti masing-masing. Ianya berlarutan dengan memperlihatkan dominasi sesuatu kaum dalam bidang-bidang tertentu seperti politik atau perniagaan semakin ketara lebih-lebih lagi apabila jumlah bilangan anggota masyarakat majoriti dan minoriti dalam lingkungan lebih kurang sama.
CABARAN HUBUNGAN ETNIK DI MALAYSIA DAN KAEDAH MENGATASI
pastedGraphic_1.pdf

POLITIK
Setiap kaum di Malaysia diwakili oleh parti politik masing-masing menyebabkan ianya lebih menjurus kepada politik perkauman. Setiap parti akan hanya menyuara, menjaga serta memperjuangkan kepentingan dan kelangsungan kaum masing-masing. Keadaan yang tidak sihat berlaku apabila anggota parti sukar menerima pemimpin dari kaum lain. Ini secara tidak lansung hanya akan memberikan implikasi negatif apabila penumpuan dalam parti hanya mengukuhkan semangat perkauman. 
Pelbagai tafsiran telah dibuat berkaitan kemampuan Negara ini menguruskan masyarakatnya yang pelbagai budaya: ada tafsiran yang optimis dan ada pula yang pesimis. Namun begitu negara ini telah melalui banyak perubahan, bukan sahaja dalam bidang ekonomi, sosial dan hubungan etnik, bahkan jua dalam bidang politik. Orang bukan Islam seperti juga orang Islam, bukan sahaja bebas berperanan membangunkan ekonomi dan sosial, tetapi juga sama-sama bertanggungjawab mewujudkan suasana politik yang stabil dan harmoni dalam lingkungan mereka. Dalam konteks politik, mereka bebas berpesatuan dan menubuhkan persatuan atau pertubuhan politik dalam kalangannya atau menjadi penyokong pertubuhan-pertubuhan politik Islam untuk memajukan dan meninggikan Islam dan pemerintahannya dan bukan untuk menjatuhkannya. Mereka bertanggungjawab dan perlu berganding bahu dengan orang Islam bagi memastikan wujudnya kehamonian (Surtahman, 2008).
Politik juga boleh didefinasikan sebagai pentadbiran berkait rapat dengan pemerintahan, kepimpinan yang baik akan melahirkan individu, keluarga, masyarakat, negara dan dunia Islam yang baik di dunia dan akhirat. Kita lihat sejarah kepimpinan Rasulullullah SAW dalam mentadbir umat Islam semasa pemerintahan baginda. Rasulullah SAW sebagai pemimpin teragung umat Islam sepanjang zaman merupakan contoh teladan kepada pemimpin pada zaman ini. Baginda menggauli sahabat-sahabatnya dengan penuh kemesraan, kasih sayang dan bersopan santun, bergurau senda pada perkara yang benar dan bukan direka-reka. Baginda mengambil berat terhadap kebajikan rakyatnya, lebih-lebih lagi golongan miskin, baginda lebih kerap menghulurkan bantuan dengan mengagih-agihkan segala khazanah negara. 
Baginda juga menjaga hubungan dengan masyarakat bukan Islam, Baginda bergaul dengan panuh adab, tidak pernah menyakiti walaupun pernah disakiti, bertindak keras hanya terhadap mereka yang ternyata menunjukkan sikap menderhaka kepada negara, tetapi sebaliknya bersabar dengan kerenah mereka yang menyakiti peribadinya. Baginda berjaya bertindak sebagai pemimpin dunia akhirat yang dapat membawa yang akan membawa kesejahteraan pada kedua-duanya.
Manakala sifat paling terserlah bagi pemerintah Islam yang terbilang dalam sejarah; Baginda meminta pandangan orang lain dan tidak bersikap kuku besi. Baginda bertukar-tukar pandangan dengan pakar-pakar yang berkecimpung secara khusus dalam setiap isu yang dikendalikannya.
EKONOMI 
Dalam keadaan Malaysia kini, kita dapat lihat bahawa Dominasi Ekonomi Negara kita memperlihatkan jurang yang luas dari segi penguasaan ekonomi dan ketidakseimbangan pendapatan telah di monopoli oleh masyarakat Cina sebanyak 70 %, diikuti oleh masyarakat Melayu 25% dan masyarakat India sebanyak 5%. Tiap-tiap etnik berusaha untuk mendapatkan hak dan keuntungan yang lebih besar daripada pertumbuhan ekonomi dan peluang ekonomi yang wujud. Masyarakat Cina umumnya menguasai ekonomi negara. Kenapa hal ini berlaku? Akibat daripada sejarah lampau dimana pihak penjajah telah meng’kelas’kan masyarakat kita kepada tiga kawasan iaitu kawasan bandar, kampung dan ladang. Perbezaan pekerjaan begitu ketara atas peningkatan taraf hidup masyarakat serta ianya menghalang interaksi yang lebih kerap dimana interaksi hanya berlaku di kalangan etnik yang sama sehinggakan semangat perkauman  terus menebal.
Kini sebagai sebuah negara Islam, kita perlu bekerjasama dalam membangunkan ekonomi negara menggunakan sistem pasaran ekonomi secara Islam.
Kerjasama dalam konteks sistem pasaran ekonomi secara Islam tidak bermakna pembentukan pasaran monopoli atau penghapusan persaingan yang sihat dalam kalangan unit-unit ekonomi, sebaliknya membentuk satu sistem yang mengkombinasikan kedua-duanya secara harmoni. Kerjasama ini merangkumi seluruh ahli masyarakat dan warganegara, samada Islam atau bukan Islam. Kerjasama yang boleh membawa natijah yang baik dan bermanfaat kepada masyarakat pada dasarnya diterima oleh masyarakat (Surtahman, 2008).
Terdapat pelbagai bentuk kegiatan ekonomi yang boleh melibatkan orang Islam dan bukan Islam yang hampir menyamai kegiatan yang melibatkan sesama orang Islam seperti jual beli, perkongsian, hutang piutang, upah-mengupah dan pekerjaan. Sebagai seorang muslim dalam sebuah negara Islam, individu bebas menubuhkan dan menjalankan kegiatan dan mengadakan kerjasama ekonomi sesama mereka mengikut nilai-nilai masyarakat setempat kerjasama yang boleh membawa natijah yang baik dan bermanfaat kepada masyarakat pada dasarnya diterima oleh masyarakat. Sebaliknya mana-mana kerjasama yang boleh mencederakan atau merugikan kebanyakan ahli masyarakat, umumnya ditolak kerana bertentangan dengan nilai dan kepentingan masyarakat.
Bagi warganegara yang bukan Islam mempunyai hak dan peluang untuk mendapatkan dan melibatkan diri dalam kegiatan-kegiatan ekonomi, di samping beberapa tanggungjawab yang perlu ditunaikan sebagai seorang warganegara bukan Islam. Antara hak-hak bukan Islam ialah : hak bekerja untuk mencari rezeki, perlindungan harta benda, perlindungan tempat tinggal dan hak kemudahan awam seperti sekolah, hospital dan sebagainya. Manakala tanggungjawab bukan Islam ialah membayar cukai jizyah secara tahunan kepada individu yang sempurna syarat-syaratnya, membayar cukai kharaj keatas tanah yang dimiliki, membayar cukai pendapatan yang dikenakan setiap tahun sebanyak 5% bagi barang dagangan dan dilarang mewujudkan perusahaan, perniagaan dan perlakuan meminum arak, memakan babi atau bermain judi secara terbuka di khalayak ramai, lebih-lebih lagi di kawasan penempatan orang-orang Islam. 
SOSIAL
Pemisahan Fizikal yang diwujudkan akibat dasar pecah perintah British telah merenggangkan hubungan dan menyukarkan interaksi sesama masyarakat sehinggakan ianya memperkuatkan perasaan kekitaan dan etnosentrisme. Dalam masa yang sama juga sistem pendidikan yang berasingan telah dilaksana menyebabkan setiap golongan etnik mempunyai sistem pendidikan yang tersendiri. Sistem persekolahan yang memisahkan pelajar mengikut bahasa ibunda menyebabkan interaksi berkisar dikalangan etnik sendiri sahaja sehingga berlaku polarisasi dalam kalangan pelajar. Keterasingan di peringkat sekolah rendah, kerenggangan di sekolah menengah serta di Institusi Pengajian Tinggi menyukarkan proses hubungan etnik di Malaysia. Dari segi Kontrak Sosial yang menjadi asas dalam pembinaan masyarakat Malaysia pula seringkali di pertikaikan apabila timbul ketidakseimbangan yang ketara.
Menghadapi cabaran yang ditimbulkan oleh hubungan etnik bukannya mudah. Pelbagai usaha dijalankan termasuk penubuhan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional pada awal tahun tujuh puluhan yang memperkenalkan program-program memupuk perpaduan dalam masyarakat. Antara program-program yang telah diperkenalkan oleh negara untuk menangani masalah ini termasuklah Rukun Tetangga hinggalah kepada Pelan Integrasi Nasional; penubuhan Sekolah Wawasan; Program Latihan Khidmat Negara di samping banyak lagi program yang memfokuskan kepada kelompok belia ini; program "Kongsi-Raya" dan lain-lain yang berusaha mempromosi perpaduan dan kefahaman tentang budaya yang berbeza melalui cara meraikan hari kebesaran semua kelompok secara bersama. 
Sebahagian besar kerjasama yang terdapat dalam kalangan orang Islam, juga sesuai untuk diaplikasikan terhadap orang bukan Islam. Orang Islam juga wajar berkawan dengan orang bukan Islam, memberi bantuan dan pertolongan kepadanya jika ia mendapat kesusahan lebih-lebih lagi jika jirannya. Orang Islam juga boleh memenuhi undangan, memakan makanan dan memakai pakaian tradisi mereka. Kerjasama orang Islam dan bukan Islam dalam bidang sosial adalah harus selagi kerjasama tersebut tidak melibatkan pengamalan dan pengagungan budaya yang berkait dengan adat keagamaan mereka misalnya dengan memakai pakaian keagamaan seperti pakaian sami, bersalib atau melakonkan upacara penyembahan mereka. 
Orang Islam juga perlu mendekati masyarakat yang mempunyai pelbagai etnik ini dengan memberi nasihat dalam konteks dakwah Islam, menziarahinya, berinteraksi dan bergaul secara baik, bermanis muka, bersifat adil, tidak menyakiti dan sebagainya. 
AGAMA DAN BUDAYA
Setiap etnik mempunyai agama, adat istiadat, bahasa dan kebudayaan yang berlainan. Ini secara tidak lansung menjadi penyumbang kepada mudah terjadinya konflik. Setiap kaum terus menebal dengan bahasa dan kebudayaan mereka sendiri serta sifat mengutamakan anggota dari etnik yang sama dalam mendapatkan pekerjaan, memilih sahabat dan mencari teman hidup. 
Negara Islam pada hakikatnya merupakan negara yang menjunjung dan melaksanakan dasar Islam berasakan Al-Quran dan Al-Sunnah dalam pemerintahnnya. Tetapi penggunaan istilah negara Islam kini menjadi lebih longgar kerana definisi itu telah mengelompokkan mana-mana negara yang diperintah oleh orang Islam, majoriti rakyatnya Islam, menerima Islam sebagai agama rasmi dan wujudnya syiar Islam, sebagai Negara Islam. Istilah longgar ini lebih menepati kepada istilah Negara Umat Islam kepada mana-mana negara yang mempunyai ciriciri yang dinyatakan tadi. Negara Umat Islam ialah negara yang tidak mendaulatkan Islam dalam pemerintahannya, sebaliknya mereka hanya menjadikan Islam sebagai simbol dan kosmetik luaran sahaja, sedangkan hakikatnya Islam tidak diberi kuasa untuk menguasai sesebuah negara (Surtahman, 2008).
Mengapa perkara ini boleh berlaku? Kita lihat kembali sejarah penubuhan negara kita pada 16 September 1963, telah sedia ada kepelbagaian etnik akibat daripada imigrasi ataupun perpindahan masuk warga Cina dan India ke Tanah Melayu. Hal ini menyebabkan kepelbagaian agama wujud di Malaysia selain daripada agama Islam seperti Hindhu, Buddha, Kristian dan sebagainya. Perkara ini mewujudkan perbezaan dari segi pengamalan agama, komunikasi, pergaulan dan budaya sesama etnik. Isu agama merupakan isu sensitif yang telah termaktub di dalam perlembagaan, namun pandangan masyarakat masih tidak berubah dan sentiasa mencari kesempatan dan peluang untuk menjatuhkan sesama etnik dalam aspek beragama. Sebagai contohnya, bila Islam dilihat oleh sebahagian kelompok sebagai agama yang sering dikaitkan dengan keganasan, dan penggunaan kekerasan, islamophobia penggunaan kalimah ‘ALLAH’ oleh agama lain serta isu pembakaran gereja sebagainya.
Budaya pula boleh dibahagikan kepada dua lapangan besar iaitu : budaya kebendaan dan budaya bukan kebendaan. Budaya kebendaan ialah peralatan dan kelengkapan hidup seperti rumah, kereta, perahu, senjata dan sebagainya, Contohnya, orang Melayu mempunyai rumah yang berbeza dengan orang Inggeris atau orang Eskimo. Budaya bukan kebendaan ialah kepercayaan, adat istiadat dan undang-undang. Contohnya, setiap masyarakat mempunyai adat istiadat yang berbeza-beza dalam menjalani kehidupan seperti perkahwinan masyarakat Melayu yang mana pihak lelaki yang memberi hantaran kepada pihak perempuan, manakala bagi masyarakat India, hantaran (dowri) perkahwinan diberi oleh pihak perempuan kepada pihak lelaki. Dalam budaya Melayu, faktor agama paling penting kerana agamalah dasar tanggapan terhadap alam sekitar dari segi sosial dan fizikal. Bahasa juga penting sebagai alat komunikasi dan adat resam juga mustahak sebagai petunjuk jalan bagi seseorang dalam mengendalikan hidupnya bermasyarakat dan berbudaya. 
Kita dapat lihat bahawa dengan kepelbagaian agama dan budaya tidak dapat menyatupadukan perhubungan etnik di Malaysia. Oleh itu, mari kita sama-sama mengambil iktibar dari sejarah pembukaan kota Madinah yang didiami oleh masyarakat yang pelbagai kaum dapat mencapai perpaduan selepas kedatangan Islam di Madinah. Tindakan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dalam membentuk masyarakat ialah mengadakan perjanjian dengan orang-orang bukan Islam terutamanya kaum Yahudi. Mereka berusaha menghalang perkembangan agama Islam apabila mendapati kedatangan Rasulullah SAW tidak mendatangkan keuntungan kepada mereka. Rasulullah SAW dengan penuh kebijaksanaan mengadakan perjanjian damai dengan mereka
Perjanjian ini mencegah perasaan hasad yang berterusan di kalangan orang Yahudi terhadap orang-orang Islam dan seterusnya terbentuk dan tergubal perlembagaan Madinah berdasarkan kepada Al-Qur’an dan As-Sunnah yang mempunyai ciri-ciri berikut: 
1. Hormat-menghormati jiran atau antara satu negara dengan lainnya.
2. Tolong-menolong menentang musuh dan permusuhan.
3. Memberi pertolongan kepada orang yang dizalimi.
4. Saling nasihat menasihati dan sama-sama menunjuk ajar. 
5. Menghormati kebebasan beraqidah, beribadat, walau berbeza agama.
Tapi bagaimana boleh timbulnya persoalan tentang Negara Umat Islam iaitu tidak mendaulatkan Islam dalam pemerintahannya, yang hanya menjadikan Islam sebagai simbol dan kosmetik luaran sahaja.
Hal ini berlaku di Malaysia apabila pemimpin yang memerintah tidak dapat melaksanakan Islam secara menyeluruh ataupun ‘total’ dalam sistem pemerintahan disebabkan oleh cabaran utama dalam kepelbagaian etnik iaitu kepelbagaian dalam beragama seperti Islam, Buddha, Hindu, Kantonise, Kristian dan sebagainya serta kepelbagaian budaya pada setiap kaum seperi Melayu, Cina, India, Asli, Jawa dan sebagainya. 
Kita lihat pada permasalahan yang berlaku dalam kalangan masyarakat kini yang menghadapi pelbagai masalah terutama dalam isu agama sebagai contoh keadaan di negeri Selangor dimana laungan azan tidak dibenarkan berkumandang dengan suara yang kuat dan ini bukan sahaja menimbulkan kemarahan pada umat Islam seluruh Malaysia bahkan di seluruh dunia. Selain itu juga terdapat beberapa kes dan isu sensitif yang cuba dipropagandakan oleh non-muslim bagi menjatuhkan dan merendah-rendahkan masyarakat Islam. 
FAKTOR KEJAYAAN PEMBINAAN MASYARAKAT MALAYSIApastedGraphic_2.pdf
Keazaman Politik (Political Will)
Secara umumnya dikebanyakan negara sedang membangun, aspek etnik selalu mencorak bentuk pentadbiran politiknya sepertimana juga Malaysia. Oleh yang demikian, usaha untuk memelihara kestabilan politik yang berteraskan kepada kerjasama antara etnik terus menerus menjadi agenda utama negara. Walaupun menghadapi pelbagai cabaran, Malaysia dianggap sebagai sebuah negara yanag berupaya melaksanakan sistem demokrasi secara berkesan. Dalam konteks politik domestik, demokrasi negara telah berjalan dengan lancar (sejak pilihanraya umum pertama tahun 1955) kerana kejayaan masyarakat Melayu, Cina dan India yang bersatu untuk mendesak British menberikan kemerdekaan.
 Dasar-dasar kerajaan dala menguruskan pelbagai perkara yang berhubung dengan perhubungan etnik melalui formula tolak ansur telah berjaya mengekang pihak-pihak tertentu seperti parti pembangkang yang cuba memecahbelahkannya. Justeru, struktur hubungan etnik di Malaysia kini dipengaruhi oleh kumpulan etnik yang memiliki batas etnik yang nipis. Bentuk perhubungan mereka berasakan perkiraan bukan etnik. Secara rasionalnya, hubungan lebih bersifat mengikat hubungan mereka dalam jaringan silang budaya dan merentas etnik masing-masing.
 Kewujudan matlamat dari pemimpin yang mempunyai niat menebal untuk menginstitusikan hubungan etnik telah memberi impak positif. Niat ini dicetuskan oleh kesedaran tentang  pentingnya hubungan etnik dalam sesebuah negara majmuk seperti Malaysia hasil dari pengalaman-pengalaman peristiwa hitam yang terjadi akibat permasalahan etnik. Dari sini akan tercetus kemahuan serta aktiviti dalam bentuk pelan tindakan yang berkesan dalam mengukuhkan hubungan etnik. 
Golongan Sasaran Yang Dikenalpasti (Critikal Mass)
Setelah mengenalpasti pelan-pelan tindakan yang ideal dan pelbagai program untuk meningkatkan keutuhan hubungan etnik negara, kerajaan turut mengenalpasti golongan sasaran yang patut diberi tumpuan. Usaha ini turut dibantu dengan adanya badan induk yang menjadi faktor pemangkin kepada semua program hubungan etnik dan integrasi yang melibatkan Critical Mass dimana kerajaan telah menubuhkan badan-badan yang berfungsi untuk memupuk perpaduan nasional seperti Jabatan Perpaduan Negara & Integrasi Nasional (JPNIN) dan Institut Kajian & Latihan Integrasi Nasional (IKLIN). Badan-badan ini dipertanggungjawabkan untuk memantapkan integrasi nasional, berusaha merapatkan masyarakat dari pelbagai etnik tidak mengira daripada semua negeri di Malaysia khususnya antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak. Usaha ini juga turut menyasarkan agar wujud perhubungan dua hala antara semua pihak (sektor awam dengan sektor swasta, sektor komuniti dan NGO) supaya keharmonian hubungan etnik  di Malaysia tidak hanya bergantung semata-mata pada keadaan berbaik-baik antara kum[pulan etnik tetapi juga antara kumpulan kelas sosial yang berbeza-beza (antara para pekerja, anggota kelas menengah dan golongan mewah atau atasan daripada pelbagai kumpulan).
Kekukuhan Ekonomi
Hubungan etnik, perpaduan dan integrasi hanya boleh terhasil sekiranya ada keperluan asas untuk survival manusia dipenuhi, iaitu makanan untuk meneruskan kehidupan. Manusia yang mudah terpengaruh oleh persekitaran sanggup melakukan apa sahaja demi untuk meneruskan kelansungan hidupnya malah sanggup membunuh untuk mengelakkan daripada mati dan manusia juga mahu lebih daripada untuk tidak mati
. Hal ini menyebabkan faktor ekonomi memainkan peranan penting  dalam menentukan kejayaan hubungan etnik di Malaysia. Pengajarannya ialah peristiwa 13 Mei 1969 dimana insiden ketegangan kaum dalam sejarah hubungan etnik di Malaysia yang meninggalkan kesan yang amat dalam khususnya dari segi ekonomi. Hal ini dapat dilihat daripada reaksi dan langkah-langkah pihak kerajaan yang telah memperkenalkan dan menggubal beberapa dasar negara termasuk Dasar Ekonomi Baru (DEB). Hubungan etnik dan  integrasi hanya boleh terhasil jika keperluan asas untuk survival manusia dipenuhi. 
Peranan Islam
Memandangkan majoriti penduduk Malaysia terdiri dari masyarakat beragama Islam, adalah wajar supaya asas hubungan etnik dan integrasi nasional itu serasi dengan majoriti penduduk dan juga boleh diterima oleh kebanyakan penduduk lain. Cabarannya disini adalah untuk mengetengahkan ketamadunan Islam supaya boleh dikongsi bersama oleh semua rakyat negara ini. Bahkan dari perspektif Islam pula, Allah SWT menjadikan pelbagai jenis manusia supaya boleh kenal mengenal antara satu sama lain. Dialog antara agama yang intensif boleh dibuat dalam kerangka ini bagi meningkatkan kesefahaman antara agama
. Menggunakan pendekatan agama bagi menangani masalah pluraliti masyarakat sering menimbulkan kesangsian. Hal ini kerana sifat kepelbagaian dari segi teologi dan anutan manusia itu dikatakan tidak memungkinkan berlakunya kesefahaman. Islam telah memberi pengaruh yang mendalam dalam pertumbuhan dan perkembangan Tamadun Malaysia. Dengan majoriti penduduk beragama Islam, maka sewajarnya Islam menjadi asas hubungan etnik dan integrasi nasional kerana ia serasi dengan majoriti penduduk dan minoritinya. Sebagai agama rasmi, Islam mestilah dihormati kerasmiannya namun ia tidak menghalang kebebasan beragama. 
Islam merupakan cara hidup yang perlu dilaksanakan bagi setiap individu muslim dalam menjaga hubungan dengan pencipta yakni Allah SWT, hubungan sesama manusia dan hubungan dengan alam sekitar. Dengan mengamalkan Islam sebagai cara hidup, maka akan terlahirlah keluarga, masyarakat, kerajaan dan Negara Islam. Mengamalkan Islam sebagai cara hidup bukan hanya seorang muslim boleh melaksanakannya, malah individu bukan Muslim yang bernaung dibawah Negara Islam juga boleh laksanakannya tanpa rasa sukar dan terbeban.
Oleh itu, pemimpin sebuah Negara Islam perlulah melaksanakan Islam secara menyeluruh tanpa mengabaikan suruhan dan larangan yang telah ditetapkan Allah dalam Al-Quran, Sunnah dan juga Ijtihad yang telah disepakati oleh para ulama’ dalam perkara-perkara yang melibatkan hokum hakam dalam Islam. Sesungguhnya Islam adalah agama ynag syumul, sempurna, fleksibel dan sebagainya. 
Berkongsi Wawasan (Shared Vision)
Dalam rangka membina persanoliti berjiwa Malaysia seperti yang dihasratkan, rakyat Malaysia yang berlatarbelakang pluraliti yang sedemikian rupa perlu mempunyai kekuatan budaya dan nilai yang bersifat keMalaysiaan. Rakyat dan pemimpin mestilah mempunyai visi yang sama tentang hala tuju dan hasil integrasi yang diingini. Gagasan 1Malaysia dan Wawasan 2020 harus dijadikan salah satu paksi terpenting pada keseluruhan gagasan hubungan etnik dan integrasi nasional negara ini. Kepelbagaian yang wujud tidak seharusnya menjadi kekangan untuk masyarakat dinegara ini berinteraksi dan memahami antara satu sama lain. Ada banyak persamaan yang boleh dijadikan landasan yang boleh memungkinkan rakyat berkongsi bukan sahaja dari segi nilai malahan dari segi amalan dan tatacara kehidupan.
Penggunaan Sains dan Teknologi
Amerika Syarikat ialah negara yang besar namun semangat keAmerikaan rakyatnya begitu tinggi sekali kerana adanya integrasi yang berkesan melalui penggunaan sains dan teknologi yang intensif khususnya dalam bidang teknologi, maklumat dan komunikasi (ICT) disamping pelaburan didalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang sangat tinggi berbanding dengan negar-negara lain didunia ini. Jarak 1600km dari Putrajaya ke Kota Kinabalu dan 1120 km dari Putrajaya ke Kuching masih hampir berbanding dengan kedudukan antara kebanyakan bandar-bandar besar di Amerika Syarikat. Peredaran masa yang mempengaruhi perkembangan pembangunan haruslah seiring dengan perkembangan minda masyarakat. Penggunaan teknologi dalam kehidupan haruslah dimanfaatkan demi menjamin kestabilan hubungan etnik seperti penggunaan Mykad untuk mengatasi masalah imigrasi menunjukkan dengan jelas betapa teknologi dapat menangani masalah hubungan etnik dan integrasi nasional dengan berkesan tampa melibatkan aspek perundangan yang menjadi halangan. Antara penggunaan yang boleh difikirkan dan diketengahkan adalah dengan meningkatkan interaksi virtual dengan penggunaan teknologi tanpa wayar 3G, penerbangan yang lebih murah yang ditawarkan daripada Air Asia dan perkongsian laman web seperti rangkaian sosial seperti Facebook dapat menangani masalah hubungan etnik dan integrasi nasional.  Makanisma pemantauan bagi menjamin penggunaan teknologi dengan efektif dan berkesan juga haruslah tidak diketepikan seiring dengan pelaksanaan pelan tindakan yang diatur.
CADANGAN
Agama Islam adalah agama yang sangat mementingkan keharmonian. Malah, setiap agama juga menggalakkan umatnya supaya hidup dalam keadaan yang harmoni tanpa ada sebarang perbalahan dan pergaduhan di antara satu sama lain. Justeru itu, adalah penting bagi setiap manusia untuk hidup dalam keadaan yang harmoni dan membantu antara satu sama lain. Setiap apa yang terkandung dalam bumi ini adalah kurniaan daripada Allah SWT dan kita sebagai makhluk ciptaannya perlulah berusaha untuk menjaga sumber-sumber yang telah dikurniakan oleh Allah SWT. 
Setiap manusia perlulah menggunakan sumber-sumber tersebut dengan sepenuhnya agar hasilnya dapat memberi manfaat kepada seluruh masyarakat dan tidak hanya berlegar di kalangan sesetengah masyarakat sahaja. Seperti yang diterangkan di dalam Al Quran, manusia berkongsi 3 asas utama iaitu tanah, air dan api. Jadi, segala apa yang telah dikurniakan oleh Allah SWT mestilah digunakan bersama dengan semaksimum yang mungkin tanpa ada sebarang eksploitasi. Keharmonian adalah sesuatu yang sangat dituntut oleh Islam. Adalah penting bagi setiap masyarakat untuk menjaga keharmonian sesebuah negara tersebut. Secara tidak langsung, ini juga dapat mewujudkan keharmonian etnik yang cukup bagus di kalangan masyarakat. 
Bagi mereka yang cuba mengambil kesempatan di atas keharmonian etnik yang telah lama terjalin ini, demi untuk kepentingan mereka sendiri, tindakan tegas perlu diambil kepada mereka. Peristiwa 13 Mei 1969 sudah cukup memberi derita dan bencana kepada masyarakat. Semestinya, detik hitam ini sudah menjadi sejarah yang sangat pahit dalam hidup mereka yang terlibat dan semestinya setiap masyarakat tidak mahu perkara ini berlaku kembali. Setiap masyarakat perlu menjaga ikatan persaudaraan kerana kita sebagai rakyat Malaysia hidup di bawah satu rumpun yang sama. Kita telah mendapat banyak manfaat dari keharmonian yang telah terjalin ini. Negara Malaysia adalah sebuah negara yang unik kerana mempunyai pelbagai kaum yang berbeza tetapi dapat menjalani hidup yang sangat harmoni.
Masyarakat di Malaysia secara tidak langsung dapat mempelajari adat resam agama yang lain. Contohnya, kepelbagaian kaum di Malaysia telah mempelbagaikan jenis makanan yang dapat dinikmati bersama. Kepelbagaian kaum juga telah memberi peluang kepada masyarakat dapat menyambut pelbagai jenis perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, Deepavali dan Tahun Baru Cina. Perbezaan kaum, bahasa, agama dan warna kulit tidak boleh dijadikan alasan mengapa kita tidak boleh hidup dalam keadaan yang harmoni dan sejahtera. Sebarang pertelingkahan yang berlaku mestilah diselesaikan dengan sebaik mungkin tanpa perlu membangkitkan isu-isu berbaur perkauman. Didikan perlulah diberi bermula dari tunjang agar generasi yang baru dapat mengenali erti keharmonian dan bersama-sama membangunkan negara. 
Negara Islam mengikut takrif yang longgar merupakan negara yang berada di bawah kuasa pemerintahan orang Islam. Takrif lebih ketat pula ialah negara yang diperintah dengan hukum Islam
, berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah. Negara yang menjalankan pemerintahan Islam berfungsi sebagai penyambung tugas kerasulan dalam memelihara agama dan mentadbir urusan dunia. Pemerintah atau pemimpin Islam perlu menjadi pendua tugas yang telah Rasulullah SAW sempurnakan, iaitu tugas keakhiratan dan keduniaan secara serentak. Oleh itu, tidak memadai dengan hanya penguasaan orang Islam ke atas pemerintahan sedangkan system, peraturannya dan hukumnya tidak secara Islam. Hukum wajib dilaksanakn dengan pemerintahan oleh pemerintah Islam.
Dengan terlaksananya hukum hakam Allah SWT dimuka bumi ini, nescaya akan aman dan sejahteralah negara dengan sistem yang telah dibentuk oleh Allah SWT. Tidak ada lagi masyarakat yang tindas-menindas, benci-membenci, bermusuhan, iri hati, perkauman, dan sebagainya. Malah akan terlahirlah masyarakat yang saling hormat-menghormati, tolong-menolong, bertolak-ansur dan sebagainya. Dalam surah Al-Maidah ayat 3, Allah  SWT berfiman
“…. Pada hari ini telah Aku sempurnakan Agamamu untukmu dan telah Aku cukupkan nikmat-Ku bagimu, dan telah Aku redhai Islam sebagai agamamu…”
Ayat diatas jelas menunjukkan bahawa agama Islam merupakan Agama yang sempurna dan menyeluruh bukan sahaja untuk kehidupan dunia malah jua untuk kehidupan diakhirat. Islam tidak membezakan-bezakan kaum, warna kulit, bahasa, dan keturunan dalam melaksanakan Islam sebagai cara hidup. Bahkan dalam pemerintahan Islam, ianya dapat diterima oleh seluruh masyarakat kerana keadilan dan kebajikan yang diawarkan dan yang tidak terdapat pada mana-mana pemerintahan lain. Oleh itu, cabaran-cabaran hubungan etnik di Malaysia dapat ditangani dengan melaksanakan Islam secara keseluruhannya, samaada dalam aspek budaya, ekonomi, politik dan sosial. Disini terdapat beberapa ciri-ciri Negara Islam yang telah digariskan oleh Ustaz Fathi Yakan :
Ciri-ciri negara Islam ialah negara berdaulat, kedaulatan merupakan tunggak utama kepada sesebuah negara. Kedaulatan negara boleh dicapai melalui kesetiaan kepada kepimpinan negara, keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang selama mana tidak bercanggah dengan perintah Allah Ta’ala. Keduanya agama yang diikuti, sebagai sebuah negara yang bertunjangkan agama, kepercayaan kepada Allah Ta’ala merupakan ciri utama. Setiap rakyat seharusnya mentaati agama masing-masing. Kepada penganut agama Islam, mereka tiada pilihan kecuali menghayati ajaran agama mereka dalam segenap aspek kehidupan. 
Perlaksanaan syariah amat penting bagi menjaga lima asas kehidupan iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta benda. Dengan melaksanakan hukum syariah, semua jenayah yang melibatkan lima perkara asas di atas akan dapat dikawal. Undang-undang ciptaan manusia terbukti gagal memberikan jaminan keselamatan dan kehormatan sebenar.
  Antara ciri-ciri lain ialah kesetiaan kepada negara, dimana rakyat dituntut memberikan taat setia yang tidak berbelah bagi kepada kepimpinan negara selagimana tidak bercanggah dengan kehendak syara’. Jika pemimpin gagal memikul amanah kepimpinan, rakyat berhak untuk menarik balik ketaatan mereka. Rakyat juga berhak mempersoalkan ketelusan kepimpinan di semua peringkat. Pemimpin bukan sahaja dipersoalkan oleh rakyat dan institusi hisbah, tetapi juga akan dipersoalkan oleh Allah Ta’ala pada hari qiamat. Pemerintah Islam perlu menegakkan yang maa’ruf dan mencegah kemungkaran, dimana prinsip menegakkan kebenaran dan mencegah kemungkaran akan dihidupkan dalam masyarakat sehingga menjadi tanggungjawab seluruh warganegara. Seluruh warganegara akan melaksanakannya dalam kehidupan berkeluarga, bermasyarakat dan bernegara. Prinsip inilah menjadi ciri penting yang membezakan antara sebuah Negara Islam tulen dengan Negara Islam tiruan. 
Sebagai sebuah negara Islam yang berkebajikan pemerintah sangat perlu mengambil berat kebajikan rakyat dan bersedia mendengar segala masalah rakyat. Pemimpin adalah ibarat khadam kepada rakyat. Negara Islam juga perlu memperkukuhkan amalan syura berparlimen dan raja berperlembagaan berpaksikan ajaran Islam serta keadilan untuk sebuah negara Islam merupakan sifat terpuji dan ia adalah salah satu daripada nama-nama Allah SWT yang menjadi neraca Allah SWT dalam alam ciptaan-Nya. Telah diutuskan pada Rasul dan diwahyukan syariat. Keadilan dibahagikan kepada beberapa pecahan : Keadilan dari segi hukum, keadilan dari segi kehakiman dan juga keadilan menentukan hak dan tanggungjawab terhadap masyarakat.
Dalam negara Islam, perlulah memberi hak kebebasan kepada rakyat mengikut naluri manusia yang murni dan berpaksikan lunas-lunas agama serta berdasarkan kepada perlembagaan negara seperti : Kebebasan menganut agama, kebebasan menasihati kepada semua pihak seperti amar makruf dan nahi mungkar tanpa perbezaan di antara pemimpin dan rakyat. Pemimpin hendaklah sentiasa memberi perhatian kepada rakyatnya sejauh manakah rakyatnya taat kepada ajaran Islam dan sebaliknya. Dalam aspek persamaan pula, semua manusia adalah sama di hadapan syariat Allah SWT dalam Negara Islam tanpa dibezakan antara yang kaya, miskin, berpangkat, warna kulit dan sebagainya. Permesyuaratan dalam mengendalikan urusan duniawi yang mesti ditegakkan dengan agama. Manusia berhak memikirkannya sebagai menghadapi perkembangan semasa serta menggunakan kebijaksanaan akal di dalam segala urusan. 
Selain ketaatan kepada Allah SWT secara mutlak dan juga ketaatan kepada pemimpin selagi pemimpin itu taatkan Allah SWT dan Rasul-Nya SAW. “ Tidak harus taat kepada makhluk di dalam perkara maksiat terhadap Allah”. Saidina Abu Bakar R.A pernah menegaskan di dalam ucapan dasarnya selepas dipilih menjadi khalifah dengan katanya yang bemaksud : “ Taatlah kepadaku selagimana aku taatkan Allah dan rasulNya, bila aku derhakakan Allah dan Rasulnya, maka janganlah kamu taatkan kepada aku lagi”. 
Kesimpulan
1Malaysia diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Hj Tun Razak ketika mengambil alih tampuk pemerintahan pentadbiran negara pada 3 April 2009. Konsep tersebut muncul ketika keadaan politik tidak menentu, pertumbuhan ekonomi tidak stabil akibat krisis global dan perpaduan negara dianggap semakin rapuh. Konsep, idea, slogan, ataupun agenda 1Malaysia ditempatkan secara besar-besaran dalam apa jua urusan dalam negara sebagai jambatan utuh kearah satu transfomasi holistik dari kesinambungan kepimpinan lalu.
Ia hanya akan berjaya jika ahli masyarakat mempunyai iltizam yang kuat untuk memahami dan mahu memahami bagi merealisasikan matlamat asasnya. Cabaran yang besar rakyat Malaysia membaik pulih jambatan perpaduan yang sedia ada adalah, meruntuhkan tembok-tembok pemisah antara sesama ahli masyarakat. Tanpa keutuhan perpaduan dikalangan ahli masyarakat, negara Malaysia akan gagal meningkatkan kedudukan penduduk. Teras perpaduan negara haruslah mapan pajaknya. Untuk itu, asas rakyat Malaysia perlu bersandarkan integrasi nilai-nilai yang dikongsi dan dipersetujui bersama semua kaum dimana pembongkaran ideologi kebangsaan yang terkandung dalam Rukun Negara dan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai kontrak sosial pendidikan nasional.
Keharmonian di antara masyarakat berbilang kaum di negara kita dapat disaksikan dengan variasi sambutan perayaan di Malaysia. Salah satu contoh variasi kaum di Malaysia dapat diperhatikan semasa pesta cahaya 1Malaysia di Universiti Teknikal Malaysia Melaka(UTeM 2009). Salah satu slot yang terdapat di dalam pesta tersebut adalah slot gendang 1Malaysia yang melibatkan 24 buah gendang Cina, Dhol (gendang Punjabi), Kompang, Percussion (gendang kontemporari), dan Urumi (gendang India). kepelbagaian ini disatukan dalam satu nada yang bernama gendang 1Malaysia. apabila bunyi-bunyi yang berbeza itu disatukan, ianya bergema dalam satu nada yang kuat dan menggemparkan. Kesatuan ini tidak mustahil boleh menggugat anasir-anasir yang cuba merosakkan perhubungan antara kaum-kaum di Malaysia. Seharusnya pertalian ini dijaga untuk mempertahankan satu bangsa yang bernama Malaysia.
Islam mengajar bahawa hubungan sesama manusia atas apa tingkatan sekalipun, mesti mengutamakan perdamaian, persefahaman, berbaik sangka dan perbincangan, demi mewujudkan persetujuan bersama ke arah mencapai budaya hidup yang harmoni, di kalangan sesama manusia. Namun disebabkan oleh berlaku pemisahan geografi, dicorakkan lagi dengan kehidupan bermasyarakat  yang berbeza-beza, maka di sana berlakunya perbezaan yang melahirkan kaum, bahasa, adat resam dan kepercayaan. Sampai kepada peringkat berlaku pula perbezaan kepercayaan agama mahupun ketuhanan. Walau bagaimanapun, hubungan etnik adalah sesuatu yang amat penting dan kepentingannya tidak boleh dicabuli agar setiap masyarakat dapat mengambil manfaat daripadanya. Keadaan yang harmoni adalah semua kaum di Malaysia dapat hidup dengan aman dan damai. Kesejahteraan dapat sentiasa dinikmati bersama. Selaras dengan hasrat negara, keadaan harmoni menjadi teras dalam Konsep 1Malaysia. Usaha kerajaan ini perlu disokong oleh semua masyarakat untuk mencapai perpaduan negara. Keharmonian dalam negara yang berbilang kaum di Malaysia merupakan nikmat yang amat besar. Keharmonian perlunya dipandang serius oleh semua pihak sebagai tunjang dan kestabilan negara. Keharmonian hanya akan tercapai jika wujudnya sifat saling faham memahami antara satu sama lain terutamanya bagi sesebuah negara bermasyarakat majmuk seperti Malaysia.
Bibliografi
Al-Quran Kareem
A. Aziz Deraman (1992). Tamadun Melayu dan Pembinaan Bangsa Malaysia. Kuala Lumpur: Arena Ilmu.
Abdul Rahman Putra Al-Haj. (1969). Mei 13:Sebelum dan Selepas. Kuala Lumpur: Utusan Malaysia.
Abdul Shukor Ariffin & Hassan Hj. Ali (1982). Malaysia sejarah dan proses pembangunannya: Pergolakan dasar ekonomi Negara sebelum dan selepas 1969.Kuala Lumpur : Pesatuan Sejarah Malaysia.
Gould S.J. (2002). Rocks of Ages: Science and Religion in the Fullness of Life.
Jawatankuasa Kolokium, Jabatan Sejarah (1991). Masyarakat melayu abad ke-19. Kementerian Pendidikan Malaysia : Kuala Lumpur.
Lee Ban Chen (2004). Sejarah sebagai hakim muktamad. Kuala Lumpur : Strategic Information Research Development (SIRD)
Liaw Yock Fang. (1976). Undang-undang Melaka. The Hague: Martinus Nijhoff.
Nik Anuar Nik Mahmud (2007). 13 Mei Sebelum Dan Selepas. Kuala Lumpur : Utusan Publications & Distributions.
Mansor Mohd Noor. (2005). Transformasi Perhubungan Etnik di Malaysia. Kertas kerja Seminar PerpaduanNegara Dan Intergrasi Nasional Peringkat Kebangsaan, 19-20 Mei 2005. Palm Garden Hotel, Putrajaya.
Ramlah Adam. (1993). Dato’ Onn Ja’afar: Pengasas Kemerdekaan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Ramlah Adam (2004). Bibliografi politik Tunku Abdul Rahman Putra. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Shamsul Amri Baharuddin (2007). Modul Hubungan Etnik : Hubungan Etnik, Integrasi dan menangani cabaran- Cabaran Hubungan Etnik. Maskha Sdn Bhd. Hlm 136.
Surtahman Kastin Hasan (2008). Kerjasama Ekonomi Umat Islam : Potensi dan Cabaran – Cabaran dan Srategi Dunia Islam Kini. Dawama Sdn Bhd. Hlm 150.
Surtahman Kastin Hasan (2008). Kerjasama Ekonomi Umat Islam: Potensi dan Cabaran – Kerjasama Ekonomi Domestik. Dawama Sdn Bhd. Hlm 104-105.
Wan Hashim bin Wan Teh. (1983). Race Relation in Malaysia. Kuala Lumpur: Heinemann Educational Books (Asia) Ltd.
Dr. Mustafa as-Syibaie. Sirah Nabi Muhammad SAW : Pengajaran dan Pedoman . www.mykonsis.org
Fathi Yakan. Maza Ya’ni Intimae Lil Islam.
Prof. Madya Kamarulzaman Askandar. Perpaduan dan Perdamaian Etnik. Utusan online ARKIB : 20/08/2006.
Shamsuddin Moner (2008). Islam Hadhari: Suatu pendekatan siasah syar’iyyah dalam pengurusan negara di Malaysia (Bhg. 3). August 26, 2008.
Siew Chang Yee (2007). Rusuhan kaum 13, Mei 1969 : Peristiwa sebelum dan tindakan selepasnya. Universiti Kebangsaan Malaysia.